PUTATAN: Lima buah kedai serbanika berkonsep moden- Kedai Harga Patut Koperasi (KHPK) akan diwujudkan di kawasan parlimen negeri Sabah tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.
Katanya, pembangunan KHPK akan dilaksanakan di seluruh negara dan Sabah telah diperuntukan 5 buah yang akan dikenalpasti mengikut kawasan parlimen.
Beliau berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan peruntukan insentif kewangan berjumlah RM300 ribu bagi menjayakan program ini.
“Sebanyak RM150 ribu akan diberikan dalam bentuk bantuan dan RM150 ribu lagi dalam bentuk pinjaman seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd.Najib Tun Abd.Razak semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi (MPK) Negeri Sabah di Narada Hotel, hari ini.
Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri berkata, gerakan koperasi merupakan medium yang mampu melaksanakan KHPK kerana mampu menyediakan pelanggan yang merupakan anggota koperasi.
Katanya, pembukaan KHPK dapat membantu rakyat dalam menangani isu peningkatan kos sara hidup selain menyedia dan meningkatkan aksesibiliti dan ketersediaan barangan kepada pengguna dengan harga yang berpatutan.
“KHPK akan menyediakan lebih banyak pilihan barangan kepada pengguna (barangan pengganti) selain platform untuk mewujudkan bentuk perniagaan moden, tersusun dan lebih sistematik”, tegasnya.
Menurutnya, koperasi yang berdaftar dibawah Akta Koperasi 1993, mempunyai undang-undang kecil koperasi (UUK) membenarkan koperasi menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan serta mempunyai pengurusan dan pentadbiran yang baik, layak memohon menyertai program KHPK di kawasan parlimen masing-masing.
Yahya berkata, setakat 31 Disember 2016 sebanyak 1,374 koperasi telah didaftarkan di negeri Sabah dengan kekuatan anggota seramai 335,487 orang yang memiliki modal syer dan yuran sebanyak RM157.6 juta dan asset sebanyak RM787.3 juta.
“Jumlah perolehan yang dicatat oleh gerakan koperasi di Sabah pada tahun lalu ialah sebanyak RM323.8 juta. Secara keseluruhannya terdapat peningkatan dalam pertumbuhan koperasi di negeri ini berbanding tahun-tahun sebelumnya”, tambahnya.
Menurutnya, SKM Sabah juga telah mendaftar sebuah koperasi Rukun Tetangga (RT) di Tawau dan 2 buah lagi masih dalam penubuhan di kawasan Keningau dalam usahanya meningkatkan penglibatan komuniti dalam koperasi terutama dalam kejiranan/kelompok RT.
Katanya, RT yang aktif dan mempunyai projek ekonomi digalak menubuhkan koperasi untuk menjana pendapatan komuniti dan meningkatkan ekonomi.
Yahya turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Penolong Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin yang telah dinaikkan pangkat ke Pengarah Akademi SKM di Kuala Lumpur berkuatkuasa 15 Mei lalu.
Turut hadir di majlis itu ialah Pengarah SKM Sabah, Umar Sarim Haji Saidin.-CE/BNN