Diplomasi dalam menangani isu berkaitan rakyat-Anifah

0
364
Dato' Sri Anifah Haji Aman -Wiki
Dato’ Sri Anifah Haji Aman -Wiki

KOTA KINABALU:  Sebarang permasalahan serta isu, terutama yang menyentuh sensitiviti rakyat, seharusnya ditangani melalui perbincangan dan mengambil pendekatan lebih diplomatik dalam urusan berkaitan kebajikan rakyat berbilang kaum dan agama.

Menteri Luar Negeri Dato’ Sri Anifah Haji Aman berkata demikian mengenai kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkenaan Cukai Pelancongan yang bakal dilaksanakan dan kenyataan beliau terhadap Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah.

Perkara  ini seharusnya dibincangkan dengan cara yang lebih diplomasi serta melambangkan semangat perpaduan dalam Barisan Nasional (BN), Anifah berkata.

Menurut beliau, isu sebegini hendaklah dijelaskan secara baik bagi mengelakkan tercetusnya perkara-perkara yang boleh mengguris hati dan perasaan rakyat di Sabah dan Sarawak.

“Contoh yang diberikan oleh Datuk Seri Nazri berkenaan jumlah hotel lima bintang yang berada di Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung merupakan perbandingan yang dirasakan tidak wajar dibuat,” katanya lagi.

“Datuk Seri Nazri merupakan seorang kawan dan sebagai seorang kawan saya nasihatkan agar beliau mengambil langkah yang pertama bagi menyelesaikan perkara ini dengan baik,”

“ Sudah tentu Datuk Seri Nazri akan menerima teguran ini demi kebaikan bersama. Kita di dalam keluarga BN saling menghormati dan menyelesaikan apa jua permasalahan melalui saluran yang betul demi menjaga keharmonian rakyat sejagat,” Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata.

Mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat harus sentiasa diutamakan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia, tambah beliau.-BNN