Bot pam ditangkap dekat Pulau Gaya

0
105
Bot pam berkenaan
Bot pam berkenaan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Maritim Malaysia) Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) berjaya membuat dua tangkapan pam bot tiada nombor pendaftaran di 0.2 Batu Nautika di Pulau Gaya, baru baru ini.

Bot Ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam Operasi Sejahtera telah mengesan dua pam bot dalam keadaan bergelap dan mencurigakan sekitar jam lebih kurang 6.35 petang.

Semasa Bot Ronda Maritim Malaysia cuba menghampiri  dan memintas, pam bot itu telah bertindak agresif dengan memecut laju dan melarikan diri masuk ke kawasan pesisir pantai yang berbatu di  Pulau Gaya.

Kelihatan awak-awak membuang sesuatu objek seperti botol ke laut dan berjaya meloloskan diri terjun ke laut serta meninggalkan pam bot tersadai di kawasan berbatu.

Pam bot tersebut berjaya di tahan selepas anggota bot ronda Maritim terjun ke laut untuk menarik dan mengeluarkan pam bot tersebut daripada tersadai di kawasan berbatu.

Semasa melakukan pemeriksaan ke atas pam bot tersebut terdapat bahan-bahan untuk membuat letupan dan peralatan menyelam serta ikan pelbagai jenis anggaran 140kg.

Pengarah Maritim Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Maritim Adam bin Hj.Aziz berkata, “ Pam bot ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah yang terlarang seperti bahan letupan dan tangkapan dilakukan dibawah Akta Perikanan 1985”.

“Maritim Malaysia memandang serius kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah bom dan operasi secara berterusan akan dilakukan bagi membendung gejala ini”.

“Sehubungan itu,komuniti maritim khususnya di daerah ini disarankan supaya memberi maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan bagi memastikan perairan kita bebas daripada sebarang aktiviti jenayah khususnya membabitkan pengeboman ikan,”katanya.-BNN