Pemuda UMNO KK cadang Proton-Geely bina kilang di Sabah

0
224
Johari (kiri) berbincang sesuatu bersama Faisyal dan Mohd.Bahrin selepas majlis penyerahan van untuk UMNO Bahagian Kota Kinabalu
Johari (kiri) berbincang sesuatu bersama Faisyal dan Mohd.Bahrin selepas majlis penyerahan van untuk UMNO Bahagian Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu mencadangkan agar pengeluar kereta nasional Proton-Geely  membina kilang pengeluar automotifnya di Sabah.

Ketuanya Encik Mohd.Bahrin Abd.Karim berkata, Sabah merupakan negeri yang strategik bagi Proton-Geely mewujudkan kilang mengeluar automptifnya di luar Semenanjung Malaysia.

“Ini memandangkan Sabah terletak agak strategik di kawasan pertubuhan BIMP-EAGA yang mempunyai  kira-kira seramai 60 juta penduduk.

“Wilayah BIMP-EAGA meliputi keseluruhan negara Brunei Darussalan, Sabah/Sarawak di Malaysia, Kalimantan di Indonesia, dan Selatan Filipina”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Kota Kinabalu di Dewan Maktab Sabah, hari ini.

Mesyuarat itu telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abd.Ghani. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Datuk Haji Faisyal Diego, Timbalannya, Datuk Seruji Haji Nawawi, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor, Ketua UMNO Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose dan pemimpin UMNO pelbagai peringkat.

Baru-baru ini kerjasama antara Proton dengan Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely Holding)  sebuah syarikat gergasi yang berpangkalan di China untuk melonjakkan semula pengeluaran kereta Proton di peringkat antarabangsa termasuklah di wilayah Asia Tenggara.

Mohd.Bahrin berkata, dalam tempoh sepuluh tahun dari sekarang, Sabah akan mempunyai sebuah pelabuhan bertaraf dunia di Sepanggar dan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungi Sabah dengan wilayah lain di BIMP-EAGA khususnya Brunei dan Kalimantan.

Katanya, Pemuda UMNO KK berpendapat, sudah tiba masanya Sabah mempunyai sebuah kilang automotif untuk merebut potensi pasaran kenderaan bermotor dalam kawasan wilayah BIMP-EAGA ini.

Menurutnya, Pelabuhan Sepanggar juga bakal menjadi tempat persinggahan kapal perdagangan dunia kerana ia terletak di laluan kapal perdagangan laut antarabangsa timur dan barat yang paling sibuk.

“Kita maklum, Proton adalah satu-satunya pengeluar automotif sepenuhnya di ASEAN yang memiliki keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan kemudahan pengeluaran yang kukuh. Oleh itu, Sabah juga mahu dilibatkan sama dan tidak ketinggalan dalam sektor industri permotoran ini”, tegasnya.

Beliau optimis, dengan wujudnya kilang ini nanti, secara langsung dapat membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai anak-anak muda di negeri ini dalam bidang automotif, yang sekaligus dapat mengurangkan kadar pengangguran.

Mohd.Bahrin juga mencadangkan agar DRB-HICOM yang dahulunya mempunyai cawangan di Sabah, agar mewujudkan semula cawangan mereka, sebagai persediaan kepada cadangan ini.

“Bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, jelasnya.

Katanya, Pemuda UMNO K.K juga menggesa agar cadangan mewujudkan sebuah Bandar Belia di Sabah dipercepatkan dan diberi perhatian yang serius oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pada masa ini  sebuah Bandar Belia  sedang rancak  diwujudkan di daerah Mualim, Perak yang bakal digelar sebagai  Bandar Belia 1Malaysia (1MYC).

Mohd.Bahrin juga meminta anggota Pergerakan Pemuda UMNO K.K agar bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Beliau berpendapat, pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang sangat penting untuk menentukan kesinambungan pembangunan dan kemajuan yang telah digerakkan oleh Kerajaan BN/UMNO demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, marilah kita bersama menyingsing bahu, bersatu hati dan tenaga menghadapi ibu kepada segala pilihanraya ini bagi memastikan kemenangan BN dan UMNO”, tegasnya. PR/BNN