Lawatan beri impak positif kepada guru-Mahathir

0
89
Rombongan lawatan dari MGPK PPD Telupid bersama dengan pihak MGPK PPD Lahad Datu
Mahathir

TELUPID: Lawatan Muhibbah dan Penanda Aras Majlis Guru Pemulihan Khas (MGPK) Pejabat Pendidikan (PPD) Daerah Telupid ke lima buah sekolah contoh dan cemerlang di daerah Lahad Datu beri impak positif kepada para guru yang terlibat.

Jurulatih Utama Kebangsaan Pemulihan Khas Telupid, Mahathir Mohamad berkata, hasil perkongsian ilmu sepanjang lawatan berkenaan turut menyuntik semangat para guru untuk menjadikan kelas pemulihan di daerah Telupid lebih cemerlang di masa hadapan.

“Walaupun persekitaran di daerah luar bandar ini berbeza dari segi taraf sosioekonomi, adat dan budaya, tetapi ia bukanlah penghalang buat guru-guru di daerah Telupid untuk meneruskan kecemerlangan di sini.

“Sepanjang lawatan, para guru daripada pemulihan khas berpeluang untuk bertukar-tukar pandangan dan saling berkongsi idea terutama dari segi pengurusan kelas pemulihan, pengurusan fail dan pengurusan murid pemulihan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Rombongan lawatan dari MGPK PPD Telupid bersama dengan pihak MGPK PPD Lahad Datu

Mahathir berkata, lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada para guru untuk menerokai bidang pengajaran pemulihan dari daerah lain di samping menjalinkan hubungan erat dan kerjasama di antara guru pemulihan khas dari kedua-dua daerah khususnys.

“Dalam lawatan ini, bukan sahaja pelbagai ilmu baharu yang dapat kami pelajari tetapi juga  perkongsian penting daripada rakan-rakan MGPK PPD LD tentang pengurusan fail, kelas, aktiviti serta kejayaan pihak sekolah.

“Selain itu, kami juga berpeluang untuk saling berkongsi pendapat, idea serta saling mendorong antara satu sama yang lain untuk menghasilkan yang terbaik mengikut kesesuaian tempat masing-masing,” katanya.

Mahathir yang juga Ketua Rombongan Lawatan berkata, lawatan berkenaan secara tidak langsung memberikan pendedahan besar kepada para guru MGPK yang baharu untuk mula berkhidmat dalam menambahkan dan mengembangkan lagi pengetahuan dan pengalaman.

Menurutnya, pengalaman menyaksikan sendiri suasana pengajaran dan pembelajaran berlangsung di sekolah pulau itu sangat berharga dan akan dijadikan kenangan yang paling bermakna sekali.

Antara sekolah yang terlibat dalam lawatan selama tiga hari berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan Batu 6 ½ Segama, Sekolah Kebangsaan Bukit Balacon, Sekolah Kebangsaan Lahad Datu IV, Sekolah Kebangsaan St. Stephen dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Paras.

Seramai 11 orang guru yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Tertinggi MGPK Daerah Telupid serta beberapa orang guru pemulihan yang baharu ditempatkan di sekolah turut serta dalam lawatan itu.- Oleh I.Sab Khan Mukarab Shah/BNN