Belia perlu milik ketrampilan diri dan akhlak mulia-Mizma

0
Peserta Program Terokai Lahad Datu menyertai senaronik sebelum memulakan pengembaraan ke air terjun Taliwas.
Peserta Program Terokai Lahad Datu menyertai senaronik sebelum memulakan pengembaraan ke air terjun Taliwas.

LAHAD DATU: Golongan belia sebagai pewaris kepimpinan negeri dan negara di masa hadapan perlu memiliki ketrampilan diri dan akhlak yang mulia, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Silam, Puan Mizma Appehdullah.

Katanya, golongan belia juga perlu memiliki pendidikan yang baik dan berkemahiran bagi membangun jatidiri.

“Mereka perlu memainkan peranan secara langsung dalam mencorak masa depan pembangunan dan kemajuan negeri dan negara”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ke-2 Terokai Lahad Datu anjuran Persatuan Hikers Lahad Datu sempena sambutan Hari Malaysia 2017.

Mizma berucap merasmikan majlis itu.

Seramai 117 orang belia menyertai program itu yang merupakan pengisian sempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan oleh rakyat negara ini khususnya Sabah dan Sarawak.

Program Cara Hidup Sihat itu melibatkan Kembara Air Terjun Taliwas Trail (Lembah Danum) sejauh 5.5 kilometer.

Mizma berkata, Lahad Datu yang terus pesat membangun memerlukan belia yang dinamik, berkeyakinan, trampil dan berakhlak mulia.

“Belia merupakan harapan kepada kekuatan Lahad Datu untuk terus menjadi sebuah daerah yang bersaing dan maju dengan kualiti tinggi warganya.

“Generasi belia di Lahad Datu harus memiliki wawasan dan turut serta memainkan peranan di pentas pembangunan Lahad Datu”, tegasnya.

Menyentuh Program Terokai Lahad Datu, Mizma berkata peserta yang menerokai Lahad Datu bukan sahaja dengan kekuatan kudrat dan pandangan mata, malah mesti melihat Lahad Datu dengan mata hati yang tajam.

Menurutnya, belia Lahad Datu harus punya keterampilan dan keyakinan serta berakhlak mulia sebagai cerminan kepada Lahad Datu di masa depan.

“Dalam tangan belialah kita serahkan masa depan negara ini. Jadilah belia yang berwawasan, berdikari dan berpendidikan serta sanggup berkorban demi membela negara tercinta”, tegasnya.

Mizma menggesa belia yang menyertai kembara itu agar menjadi duta pelancongan dengan mempromosi dan memperkenalkan keindahan alam semulajadi yang dimiliki oleh Lahad Datu kepada dunia luar khususnya pelancong asing menggunakan media sosial.

“Inilah antara peranan penting yang dapat dimainkan oleh golongan belia. Terokai keindahan alam semulajadi untuk mengurangkan “stress”, pada masa yang sama perkenalkan kecantikan alamnya kepada orang luar”, tegasnya.

Beliau turut memuji usaha Persatuan Hikers Lahad Datu yang menganjurkan program yang amat berfaedah itu bagi mengisi masa lapang golongan belia.-pr/BNN