Ratusan penduduk Sipitang terjejas akibat gangguan air

0
57
Penduduk yang terjejas bekalan air terpaksa membeli air minum untuk keperluan harian
Penduduk yang terjejas bekalan air terpaksa membeli air minum untuk keperluan harian

SIPITANG: Ratusan penduduk di Pekan Sipitang dan kampung sekitarnya terjejas aktiviti harian mereka berikutan menghadapi gangguan bekalan air sejak 2 hari lalu.

Aktiviti perniagaan seperti restaurant,  kedai kopi, salon, kedai dobi turut terjejas berikutan ketiadaan bekalan air bersih.

Seorang penduduk di Jalan Pelakat, Puan Joan berkata, sudah 2 hari tiada air datang menyebabkan dia terpaksa menggunakan air dari tangki.

“Saya terpaksa membeli air minum botol di kedai kerana air tangki hanya digunakan untuk mandi, cuci piring dan mangkok serta cuci kain”, katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya air tangki juga telah habis dan jika tiada bekalan air paip sampai hari ini, maka susah untuk anggota keluarganya mandi dan masak.

Beliau berharap Jabatan Air Daerah Sipitang dapat mengambil tindakan susulan dengan menghantar bekalan air bersih kepada penduduk terjejas.

Seorang pengusaha salon yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Kong berkata, perniagaannya terjejas berikutan tiada bekalan air paip.

“Pelanggan yang datang untuk mencuci rambut terpaksa kami tolak kerana tiada air” , tegasnya.

Beliau berharap bekalan air paip akan pulih secepat mungkin.

Seorang pengusaha kedai dobi yang mahu dikenali sebagai Billy berkata, beliau menggunakan  air dari tangki untuk meneruskan perniagaan.

Katanya, sekiranya tiada bekalan air datang pada hari ini, maka beliau terpaksa menutup perniagaannya sementara waktu.

Penduduk kampung yang terjejas berharap Kerajaan melalui Jabatan Air mengambil tindakan segera mengatasi masalah air di kawasan pekan Sipitang dan kampung-kampung sekitarnya.

Sementara itu, pihak Jabatan Air Sipitang dalam sistem pesanan ringkasnya (SMS) kepada orang awam memaklumkan kerosakan RW pam no.4 dan hanya 1 pam intake sahaja yang dapat digunakan di logi rawatan air Ira Ulau.

Logi itu tidak mempunyai pam tunggu sedia (standby pam) untuk pam air mentah.-pr/BNN