LIGS menyangkal kenyataan Warisan

0
84

KOTA KINABALU: Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) hari ini menyangkal kenyataan Warisan Sabah bahawa LIGS tidak membantu para pekebun kecil untuk maju dengan memberikan bantuan menyeluruh kepada mereka dan juga industri getah.

Kerajaan telah memberikan bantuan kepada seramai 21,594 pekebun kecil dengan melaksanakan penanaman getah ke atas seluas 66,060 hektar kawasan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM924,840,000 untuk membasmi kemiskinan dan juga bagi memberikan sumber pendapatan yang mampan kepada mereka sejak tahun 2010.  Kawasan-kawasan  yang telah ditanam  akan mencapai tempoh matang mulai  tahun 2018 mengikut phasa.  Di mana, LIGS akan melaksanakan penanaman, pemantauan dan penyelenggaraan kawasan sehingga matang sebelum diserahkan semula kepada para pekebun kecil . LIGS juga menyediakan keperluan seperti mangkuk getah, penyangkut, pancuran, pisau toreh dan latihan secara percuma.

LIGS telah membina tiga (3) buah kilang getah di negeri Sabah untuk memproses dan memasarkan kesemua getah pekebun kecil yang mana mampu untuk menampung semua keperluan pemprosesan getah.  Cadangan  Warisan Sabah untuk memiliki kilang-kilang getah swasta hanya akan mengakibatkan kekurangan bahan mentah.   Kilang-kilang milik LIGS bukannya berasaskan keuntungan berbanding dengan kilang-kilang swasta yang hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan  daripada para pekebun kecil getah.  Kerajaan mensyaratkan bahawa pelabur swasta yang ingin membina kilang pemprosesan getah  perlu memiliki seluas 10,000 hektar ladang getah bagi menjamin keperluan bahan mentah adalah mencukupi untuk kilang mereka.

Ses getah mentah adalah merupakan ses pencegahan getah yang bertujuan untuk memastikan semua getah mentah diproses di negeri ini dan tidak dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk diproses.  Para pekebun kecil getah pula tidak membayar ses mereka melainkan ianya dibayar oleh pengeksport bilamana getah mentah dikeluarkan dari negeri Sabah.  Lebih dari itu, adalah menjadi dasar Kerajaan untuk mempertingkatkan industri-industri asas di negeri ini dan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

LIGS menafikan bahawa ia menggunakan orang tengah di Singapura untuk mengeksport getah memandangkan semua pengilang/pengeluar utama tayar mempunyai pejabat pengendalian di Singapura yang menyalurkan getah mentah dari negara Thailand, Indonesia, Vietnam dan juga Malaysia untuk kilang-kilang pengeluar mereka di seluruh dunia.  Salah satu daripada pembeli utama LIGS adalah Bridgestone Tyres yang menyalurkan getah untuk kilang-kilang pengeluar mereka di Mexico, Brazil and South Africa.  Getah dijual mengikut harga antarabangsa yang ditetapkan oleh Malaysian Rubber Exchange.

Berbalik kepada dana pusingan,  wang ini digunakan sebagai jaminan untuk memastikan para pekebun kecil dibayar secara langsung semasa membeli getah dan bukan dibayar secara kredit.   Ini adalah bagi mengelakkan eksploitasi daripada peniaga getah yang berkepentingan.

Harga getah di negeri Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah berbeza disebabkan oleh kedudukan logistik dan bagi memastikan harga getah pekebun kecil di Sabah dan Semenanjung Malaysia adalah sama, maka kapal-kapal dari negara-negara pengimport perlu datang dan berlabuh di pelabuhan Kota Kinabalu secara tetap.-pr/BNN