Belanjawan alternatif pembangkang hanya cari publisiti murahan-Rahmajan

0
Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan
Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan

KOTA KINABALU: “Belanjawan Alternatif 2018” parti pembangkang yang dihebahkan hanya sekadar untuk mencari publisiti murahan, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman

Katanya, mereka mahu mempopularkan diri, dan cuba menonjolkan kesungguhan konon mahu berjuang membela nasib rakyat.

“Saya tidak mahu menyentuh satu persatu apa yang mereka katakan dalam Bajet itu, tapi bagi saya ia tidak menunjukkan keseriusan sebenar.

“Sebaliknya ia sekadar mahu mengalihkan pandangan umum terhadap Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd.Najib Tun Abd.Razak selaku Menteri Kewangan di Parlimen esok”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Belanjawan Alternatif 2018 yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan.

Rahmahjan berkata, disebabkan mahu menjadi populis, maka parti pembangkang mengetengahkanlah apa yang mereka sebut sebagai bajet itu, walhal mereka tidak pernah menghebahkannya sejak awal lagi.

Mahalan katanya, mereka banyak mengkritik usaha-usaha yang dilakukan Kerajaan  Barisan Nasional (BN) dalam isu yang sama.

“Sebagai contoh, pelaburan dari China, dulu mereka kritik, tapi sekarang kononnya  baik pula untuk ekonomi kita”, katanya.

Menurutnya, daripada apa yang dihebahkan itu, nyata fikiran pembangkang kini berserabut dan cacamarba. Tidak ketentuan ke mana halatuju, sedangkan kerajaan di bawah BN sudah menggariskan dasar dan agenda transformasi sehingga tahun 2050.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat agar jangan tertipu dan terpedaya dengan bajet alternatif itu.

“Ia sekadar mengula-gulakan minda rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke14. Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya”, tambahnya.
Rahmahjan yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri berkata, hasil daripada dasar-dasar dan perancangan strategik kerajaan BN selama ini, maka jurang antara bandar dan desa berjaya dirapatkan, nisbah pendapatan semakin seimbang, dan paling menakjubkan kadar kemiskinan tegar di negara ini jatuh daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada hanya 0.4 peratus tahun lepas.

Di Sabah sahaja katanya,  kadar itu berkurangan daripada 19.7 peratus pada 2009 kepada hanya 2.9 peratus tahun lepas.

“Ini jelas sekali, tingginya komitmen pemimpin kita, memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada ekonomi yang semakin meningkat.

“Pendapatan per kapita rakyat telah meningkat daripada RM27,819 pada 2010 kepada RM40,713 tahun ini, dengan pendapatan median bulanan meningkat daripada RM4,585 pada 2014 kepada RM5,288 pada 2016 bagi negara yang mempunyai kira-kira 30 juta penduduk ini”, jelasnya.

Rahmahjan berkata, golongan berpendapatan rendah juga tidak terkecuali mendapat limpahan nikmat peningkatan ekonomi negara. Pendapatan isi rumah kumpulan B40 telah meningkat kepada RM3,000 pada 2016 daripada RM2,629 pada 2014.

Menyedari isu kos sara hidup memberi kesan paling tinggi kepada mereka berpendapatan rendah, beliau berkata, kerajaan mengagihkan RM5.36 bilion dalam Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 7.28 juta isi rumah tahun lepas dan juga memperkenalkan gaji minimum.-pr/BNN