Cadangan Pemuda untuk transisi kepimpinan menuju TN50

0
223
Mohd Arshad Bistari.
Mohd Arshad Bistari.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Sabah mempertahankan saranan supaya lebih ramai muka baharu ditampilkan sebagai calon dalam PRU-14, sejajar proses transisi kepimpinan yang harus dimulakan sekarang.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda Umno Sabah, Mohd Arshad Bistari, berkata perkara itu yang dibangkitkan oleh Ketua Pemuda Umno Batu Sapi, Khairul Firdaus Datuk Akhbar Khan ketika perbahasan sayap Pemuda, bukan bermaksud menidakkan kepimpinan sekarang, tetapi untuk memenuhi kelangsungan perjuangan parti mengharung cabaran.

“Kita harap pandangan ini tidak disalah anggap, sebaliknya dilihat secara matang bagi menyediakan kepimpinan masa depan,” katanya, sambil meminta maaf jika ada yang terguris atau terasa, namun menegaskan ia sebagai kelangsungan proses peremajaan yang sering dilaungkan pucuk pimpinan.

Mohd Arshad yang juga Ketua Pemuda Umno bahagian Kota Belud menyangkal tanggapan konon pendirian Pemuda itu sebagai tindakan `tidak sabar’ kerana perkara itu disuarakan sejak lama dahulu.

Menurutnya, Pemuda Umno berpendirian bahawa apa yang diungkapkan itu adalah selari dengan gagasan Transformasi Nasional (TN50) yang diperkenalkan kerajaan untuk mengangkat generasi muda sebagai pelapis kepimpinan masa depan.

Sehubungan itu, beliau mengajak pimpinan Pemuda semua peringkat untuk memberi penjelasan ke peringkat akar-umbi mengenai hasrat itu, yang ikhlas demi kelangsungan perjuangan parti untuk generasi masa depan.

Katanya, proses peralihan yang dihasratkan menerusi TN50 adalah visi besar untuk menentukan status-quo pemerintahan kerajaan terus berkekalan.-pr/BNN