Lebih ramai calon muda PRU14-Hafez

0
Hafez (tengah) semasa sidang media-Pix LSK

KOTA KINABALU: Lebih ramai calon muda sedia diketengahkan oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah Yamani Hafez Musa berkata, saranan itu diharap dapat direalisasikan namun calon yang hendak diketengahkan perlulah menepati ciri-ciri yang diperlukan.

Kata beliau, mereka sentiasa komited dalam mengetengahkan lebih ramai calon muda di PRU akan datang namun calon itu perlulah menepati ciri yang diperlukan kerana calon tidak boleh dipilih sesuka hati tanpa menepati terma tertentu.

“Mengetengahkan calon muda ini juga selaras dengan pelaksanaan TN50 yang mana generasi muda memainkan peranan yang penting untuk merealisasikannya,”katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Kolokium Manisfesto Orang Muda, di sini, hari ini.

Menurut Hafez, menerusi kolokium itu empat focus berkaitan orang muda telah diketengahkan iaitu peluang pekerjaan dan pendidikan, sara hidup dan perumahan, pembangunan infrastruktur serta ekonomi dan pengupayaan orang muda dijadikan sebagai fokus utama.

“Hasrat PemudaBN dan Puteri UMNO Sabah adalah agar Rumusan Kolokium Manifesto Orang Muda ini mendapat pertimbangan dalam penggubalan Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.”

“Rumusan ini juga kita akan panjangkan sebagai maklum balas terhadap penggubalan dan pelaksanaan dasar dan program Kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan,”katanya.

Tambah beliau, dalam aspek peluang pekerjaan dan pendidikan, kolokium merumuskan agar usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan perlu digerakkan secara serentak dalam sektor awam, swasta serta keusahawanan.

“Pemuda BN Sabah dan Puteri UMNO Sabah menghargai pendekatan yang dilaksanakan kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) yang memberikan pinjaman perniagaan dengan akses yang amat meluas.”

“Bagi negeri Sabah, sejak ditubuhkan pada tahun 1998 hingga 2017, TEKUN telah membantu para peniaga dan usahawan muda di bawah umur 40 tahun dengan memberikan pinjaman sebanyak RM231 juta.”

“ Strategi merakyatkan dan memperluaskan akses kepada dana latihan dan keusahawanan seperti ini perlu dipergiatkan. Ini termasuk aspek bimbingan dan pementoran keusahawanan,”katanya.

Turut hadir ialah Ketua Puteri UMNO Sabah, Normala Rasik dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Papar yang juga Ketua Sekretariat Kolokium Manifesto Orang Muda, Datuk Armizan Mohd Ali.

Kolokium Manifesto Orang Muda dihadiri pimpinan muda Barisan Nasional Sabah bagi membincangkan dan merumuskan aspirasi generasi anak muda akar umbi di Sabah.pr/BNN