KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin telah melancarkan Program Jimat Belanja Dapur (JBD) 2018 di tapak pasar tani Asia City, Kota Kinabalu, hari ini.
Program itu dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sabah sebagai saluran pasaran pilihan bagi pengguna mendapatkan bekalan keperluan harian dengan harga berpatutan.
“Program JBD menyediakan dan menawarkan harga komoditi barangan terpilih pada harga yang berpatutan dengan penjimatan dari 5 peratus hingga 20 peratus daripada harga pasaran semasa.
“Disamping itu, Program JBD memberi kesedaran kepada usahawan pasar tani untuk turut serta menyokong usaha kerajaan dalam membantu pengguna mengurangkan kos sara hidup”, kata Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri.
Turut hadir ialah Pengarah FAMA Negeri, Haji Ribin Haji Wahid, Pengarah Perikanan Negeri, Dr. Ahemad Sade, Pengurus Besar Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Haji Kalimin Sahadi, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterina, Ir. Harus Abas, Pemangku Pengurus Besar Ko-Nelayan, Tuan Haji Yusof Ag Besar dan ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.-pr/BNN