APMM menahan nelayan disyaki bom ikan

0
Ikan yang dirampas-Pix PR
Nelayan terbabit- Pix PR
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu (DM15) telah menahan sebuah pam bot berwarna biru/merah tiada nombor pendaftaran yang disyaki memiliki ikan yang ditangkap dengan cara bom di perairan  Pulau Gaya, semalam.
Pengarah Maritim Daerah 15 Kota Kinabalu Laksamana Pertama Adam bin Hj Aziz berkata, Bot Pengawal 38 yang sedang melaksanakan OP Sejahtera di sekitar perairan Pulau Gaya telah menerima aduan awam mengenai sebuah pam bot yang disyaki melakukan aktiviti pengeboman ikan telah memasuki kawasan Pulau Gaya. Setelah itu, Bot Pengawal 38 telah bergerak ke lokasi dan mengesan serta menahan sebuah pam bot yang dalam keadaan mencurigakan pada jam lebih kurang 5.55 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat seorang juragan dan tiga awak- awak lelaki berbangsa Bajau Palauh berumur dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun berada dalam pam bot tersebut tanpa sebarang dokumen yang sah. Pam bot tersebut dikatakan sedang menuju Pulau Gaya dari Beting Beruas. Kesemua individu dan pam bot tersebut ditahan  dan dibawa masuk ke jeti Maritim Malaysia Sepanggar.
Ikan yang dirampas-Pix PR
Kes disiasat di bawah Seksyen 26 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan denda sebanyak RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,katanya lagi.
“Kes ini juga akan disiasat di bawah seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga bertanggungan kepada sebatan tidak lebih daripada 6 sebatan.
Sejak januari hingga kini statistik menunjukkan tujuh tangkapan pam bot yang melakukan aktiviti menangkap ikan dengan kaedah bom telah berjaya di tahan dan Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan. Aktiviti pengeboman ikan ini adalah salah di sisi undang – undang dan tindakan tegas akan di ambil terhadap mana mana individu yang didapati terlibat dalam aktiviti ini.-pr/BNN
Peralatan bom ikan- Pix PR