Koridor utara Sabah membangun di bawah BN

0
53
Nazri (tengah) menyampaikan bantuan khas kepada pesawah di majlis itu.
Nazri (tengah) menyampaikan bantuan khas kepada pesawah di majlis itu.
PITAS: Koridor utara Sabah berpotensi membangun sebagai wilayah ekonomi baharu terutama dalam sektor perladangan, perikanan dan agropelancongan, kata Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah
(PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah.
Beliau berkata sehingga kini koridor utara Sabah meliputi daerah Kudat, Kota Marudu, Matunggong dan Pitas sudah menikmati kemajuan serta pembangunan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu, katanya, kemenangan perlu diberikan kepada calon-calon BN di kawasan wilayah utara ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi membolehkan agenda pembangunan ekonomi bertambah rancak.
“Kemenangan BN di kawasan utara penting supaya kerajaan dapat terus
memperhebatkan usaha membangunkan kawasan ini sebagai wilayah ekonomi
baharu,” katanya.
Beliau berucap pada program Muafakat Peladang anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas di sini. Hadir sama calon BN bagi kawasan DUN Pitas, Datuk Bolkiah Ismail.
Mohd Nazri yang juga Timbalan Pengerusi Nafas berkata masyarakat peladang dari beberapa PPK di kawasan wilayah utara ini antara yang aktif melaksanakan program sosioekonomi, malah menjadi perintis penanaman pisang Sabah.
Katanya, dengan gabungan usaha ahli peladang menerusi PPK, kawasan wilayah utara Sabah boleh menjadi pengeluar utama pelbagai produk makanan bagi pasaran tempatan dan eksport.
Sehubungan itu, Mohd Nazri mengulangi komitmen komuniti peladang memberikan sokongan padu kepada semua calon BN di kawasan utara Sabah bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan.
“Sebagai kumpulan terbesar di peringkat akar-umbi, komuniti peladang penternak dan nelayan merupakan suara majoriti yang menentukan kemenangan BN,” katanya.
Beliau berkata sokongan peladang kepada kepimpinan kerajaan BN selama ini bukannya tidak berasas, sebaliknya bersandarkan kepada prinsip membalas budi kerajaan yang banyak membantu peladang selama ini.
“Sebagai mengenang budi kerajaan yang banyak membantu peladang, maka kita akan terjemahkan kenangan itu dalam bentuk undi pada PRU14 ini,” katanya.-pr/BNN