Kota Marudu diyakini kekal milik BN

0
52
Datuk Mohd Nazri Abdullah

KOTA MARUDU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) berikrar memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi ParlimeNT Kota Marudu dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusi PPNS Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata janji dan komitmen itu dinyatakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Kota Marudu kerana yakin hanya BN mampu membela nasib rakyat termasuk komuniti peladang.

Calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Marudu ialah Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, manakala di DUN Matunggong BN diwakili Julita Mojungki dan di DUN Tandek oleh Datuk Lasiah Baranting @ Anita.

Berucap pada program Muafakat Peladang di sini, Mohd Nazri berkata Maximus diyakini mampu mengekalkan kerusi Kota Marudu berdasarkan kepada penerimaan masyarakat setempat terhadap BN.

“Kita melihat sokongan akar-umbi begitu kuat sekali, terutama daripada komuniti peladang. Malahan ahli kita dalam PPK sudah menyatakan ikrar sokongan padu kepada kesemua calon BN yang bertanding di sini,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Maximus dan Anita serta beberapa pemimpin peladang. Menurut Mohd Nazri, Maximus dan dua calon BN yang lain diterima oleh masyarakat akar-umbi kerana kesemua mereka sentiasa sentiasa mendampingi masyarakat setempat.

“Malah sepanjang mewakili kawasan Kota Marudu, Maximus telah berjaya membawa banyak perubahan dan kemajuan kepada rakyat di kawasan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau optimis kawasan Kota Marudu kekal milik BN dalam PRU14 selain kerusi DUN Tandek akan kekal dimenangi, manakala kerusi Matunggong yang diwakili Bebas sebelum ini juga diyakini akan dikuasai BN.

Maximus dan Anita masing-masing menghadapi persaingan empat penjuru, manakala Julita pesaingan lima penjuru.-pr/BNN