
KOTA KINABALU: Bekas calon Parti Warisan Sabah di Apas, Abdul Salip Ejal menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat memasang sepanduk kononnya ada Program Khidmat Rakyat anjuran parti di SMK Titingan.

Donaldo (dua kiri) dan rakan-rakan parti di Tawau menunjukkan laporan polis yang telah dibuat.
Dalam satu laporan polis di Karamunsing pada hari ini, Abdul Salip menyatakan tindakan itu adalah kerja pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk cuba mencemarkan nama baik beliau dan imej Parti Warisan Sabah.
“Banner itu bukan dibuat oleh pihak kami. Saya tidak pernah membuat dan mengarahkan apa apa banner dibuat begitu juga dengan Parti Warisan Sabah tidak pernah membuat atau memberi arahan mengeluarkan banner tersebut,” tegasnya.
Beliau sudah pun memberi arahan kepada rakan-rakan parti di Apas untuk menurunkan sepanduk itu agar orang ramai tidak terpedaya.
Pada hari yang sama, Donaldo Ernesto turut membuat laporan polis di Tawau perihal yang sama.
Katanya, beliau mengetahui perkara itu apabila ia menjadi tular di laman Facebook.-pr/BNN