Kerjasama KPLB Sabah dan persekutuan diperkasa-Ewon

0
39
Ewon (tiga dari kiri) menyampaikan cenderahati daripada Rina.

KOTA KINABALU: Kerjasama di antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan KPLB Persekutuan akan terus diperkasa melalui persefahaman dan hubungan baik yang dijalinkan di antara kedua-dua menteri.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, beliau menghargai komitmen kerjasama oleh rakan sejawat beliau, Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, Rina Harun yang juga bersedia melakukan yang terbaik untuk membantu melengkapi usaha membangunkan komuniti dan kawasan luar bandar di Sabah.

“Ini termasuk persetujuan bagi perkongsian maklumat dan penyelarasan projek-projek yang dilaksanakan oleh KPLB Persekutuan di Sabah.

“Saya telah membangkitkan beberapa perkara termasuk aspirasi Kerajaan Negeri mengenai keperluan bina baru rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), peranan Pejabat Daerah yang lebih besar dalam projek-projek kecil luar bandar di bawah KPLB serta perkongsian maklumat dan penyelarasan projek Jalan Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, ameniti sosial dan lampu-lampu jalan kampung oleh KPLB Sabah dan KPLB Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Rina di pejabat KPLB Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, institusi baru pengurusan komuniti dan kampung termasuk pemberian geran bagi semua institusi tersebut di Sabah juga turut dibincangkan.

“Selain itu, saya turut menyampaikan aspirasi daripada beberapa persatuan di Sabah yang mahu peranan lebih besar diberikan kepada mereka bagi perkhidmatan perundingan dan pelaksanaan kerja-kerja projek KPLB Persekutuan di Sabah.

“YB Rina cukup terbuka dan memberi maklum balas yang sangat positif kepada perkara-perkara yang menjadi keprihatinan utama negeri Sabah yang telah saya sampaikan.

“Malah beliau juga memberitahu akan melawat Sabah dalam masa terdekat dan berharap dapat membuat pengumuman penting mengenai perkara-perkara tersebut selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal),” kata Ewon.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah kedua-dua Pembantu Menteri, Rasinin Koutis dan Dumi Pg Masdal, Timbalan Setiausaha Tetap Sualim Sanan dan Setiausaha Perhubungan, Charles Dalansing.-pr/BNN