Ewon sambut baik kesediaan KPM tangani isu beg berat murid

0
Carlyle menyampaikan sijil kepada seorang penerima pada majlis itu
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick menyambut baik inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  untuk merangka strategi menangani isu beg berat di kalangan murid sekolah rendah.
Beliau berkata, ini termasuk pelaksanaan beberapa langkah segera iaitu menggubal garis panduan serta syor kepada murid, guru, ibu bapa dan sekolah.
“Langkah itu membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin terhadap permasalahan rakyat terutama yang ada kaitan dengan pendidikan kerana pendidikan merupakan kunci kejayaan seseorang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena pada majlis Konvokesyen Pra-Universiti SMK Taun Gusi, di Grand Borneo Hotel 1Borneo, di sini, pada Sabtu.
Teks ucapannya disampaikan oleh Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Menteri KPLB.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian turut menyeru para pelajar supaya menguasai dan mempertingkatkan ilmu pengetahuan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Ini penting kerana penguasaan ICT akan meningkat daya saing negara di peringkat global.
“Menyedari kepentingan itu maka anda adalah antara golongan yang sangat diharapkan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, penekanan dalam bidang ICT tidak memadai untuk melahirkan generasi cemerlang sekiranya, tidak diiringi dengan aspek pembangunan sahsiah diri dan kecerdasan kerohanian.
Katanya, kerajaan juga komited untuk menyediakan pendidikan berkualiti dan berprestasi tinggi di sekolah-sekolah termasuk di Sabah.
Ewon berkata, dalam kesungguhan pihak KPM menyediakan perkhidmatan pendidikan berkualiti dan berprestasi tinggi semua pihak berkepentingan terutama ibu bapa dan penjaga sama-sama berusaha memastikan pembelajaran anak-anak sentiasa dipantau dan mendapat perhatian penuh.
“Adalah menjadi sandaran Kementerian Pelajaran Malaysia agar ibu bapa dan penjaga memanfaat sepenuhnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk sama-sama memajukan kesejahteraan dan kebajikan para pelajar supaya tiada pelajar yang terabai dan tercicir,” katanya.
Beliau berkata, guru-guru, seperti juga ibu bapa adalah pembimbing dan pengasuh jiwa para pelajar. Tugas guru bukan hanya mencurahkan ilmu, tetapi menyuntik nilai dan makna yang murni ke dalam hati sanubari para pelajar.
“Pastinya, pengajaran dan pembelajaran yang disulami dengan asuhan budi dan pekerti yang mulia adalah yang terbaik,” katanya.
Sementara itu Pengetua Cemerlang, SMK Taun Gusi Hj. Suid Hj. Hanapi berharap majlis itu dapat menyemarakkan lagi semangat daya saing belajar dalam kalangan pelajar di samping berusaha meningkatkan potensi diri dan patuh pada perutaran sekolah.
“Kepada semua pelajar yang diraikan pada hari ini, teruskan kecemerlangan anda tidak kira di mana anda berada,” katanya.-pr/BNN