Wujudkan perpustakaan desa di Membakut-Mohd Ariffin

0
214
MOHD. ARIFIN Arif (kanan) bersalam dengan Aidi Moktar pada Persidangan DUN Sabah.-Pix LSK

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Mohd.Arif mencadangkan agar Kerajaan Negeri mewujudkan beberapa buah Perpustakaan Desa (PD) di kawasannya.

Katanya,  pengwujudan PD itu amat penting bagi memudahkan penduduk kampung khususnya anak-anak muda dan pelajar sekolah mendapat bahan bacaan tambahan.

“Membaca dapat menambah ilmu pengetahuan. Dengan ilmu dan pendidikanlah dapat mengubah nasib dan masa generasi muda dalam dunia yang semakin mencabar ini.

“Saya telah mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah yang baru diwujudkan agar menimbang mewujudkan PD di kawasan Membakut. Cadangan ini disambut baik oleh Menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob”, katanya.

Mohd.Arifin mengemukakan cadangan itu semasa mencelah ucapan penggulungan menteri berkenaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, Penggal Pertama di Bangunan DUN, hari ini.

Katanya, Perpustakaan Desa itu perlu diwujudkan di kampung-kampung yang jauh dan terpencil kerana penduduk kampung sukar mendapat kemudahan dan perkhidmatan Perpustakaan Daerah seperti di Kampung Brunei dan Kampung Kiulu Baru.

Sebagai rekod, Membakut kini mempunyai sebuah Perpustakaan Daerah dan 2 PD di Kampung Pimping dan Binsulok.

Beliau juga menggesa agar Program NILAM untuk pelajar sekolah menengah dan rendah, diperluaskan kepada pembaca dewasa yang rajin membaca buku di perpustakaan.

Mohd.Arifin turut mencadangkan subjek “Adat dan Sejarah Sabah” diajar di sekolah-sekolah negeri ini.

“Amat penting mata pelajaran ini diajar kerana generasi muda perlu didedahkan dengan adat dan istiadat rakyat. Begitu juga sejarah negeri Sabah, agar mereka dapat memahami sejarah dan perjuangan pemimpin terdahulu sehingga negeri ini mencapai kemerdekaan dan terbentuknya negara Malaysia”, tambahnya.

Katanya, kementerian itu juga perlu menimbang memberikan peruntukan khas kepada sekolah-sekolah bagi penampung program-program sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) di sekolah-sekolah rendah dan menengah negeri ini.

Serentak itu, beliau juga meminta agar Program Kemahiran untuk beberapa Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Tahfiz di Sabah dapat diteruskan.

Menurutnya, bidang kemahiran merupakan program yang amat penting agar pelajar-pelajar SMAN dan Tahfiz mudah mendapat pekerjaan dengan memiliki kemahiran tertentu.

Sementara itu, Mohd.Arifin turut mencadangkan kepada Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah agar memperkasakan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN).

Katanya, ILMAN bukan setakat menyediakan kursus biasa semata-mata, sebaliknya sebagai institut adat dan penyelidikan Anak Negeri Sabah yang bertaraf diploma dan ijazah.

“Kementerian juga perlu membuat penyelidikan dan kerja-kerja menerbit  dan membukukan adat-adat Anak Negeri yang terdapat di seluruh negeri Sabah bagi kegunaan Mahkamah Anak Negeri selain sumber rujukan kepada rakyat”, katanya semasa mencelah ucapan pengguluangan Menteri berkenaan, Datuk Haji Aidi Moktar.-Oleh L.S Kuang/BNN