Ahli lembaga pengarah cabar tindakan penggantungan Nafas

0
420
KUALA LUMPUR: Seramai sembilan Ahli Lembaga Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memfailkan permohonan kebanaran semakan kehakiman terhadap tiga pihak bagi mencabar keputusan pendaftar pertubuhan itu menggantung operasi pengurusan pertubuhan itu sejak 28 Mei lalu.
Mereka selaku pemohon menamakan Pendaftar Pertubuhan Peladang; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub dan Kerajaan Malaysia sebagai responden memfailkan permohonan itu pada 6 Julai lepas.
Sembilan individu itu adalah Sylvester Entri Anak Muran; Mohd Nazri Abdullah; Mustaffar Kamal Ab Hamid; Ali Shikh Ahmad; Ibrahim Jahaya; Abd Lateh Mohd Saman; Ramli Norani; Ismail Omar; dan Nazilah Abd Latif memfailkan permhonan itu pada 6 Julai lalu melalui Firma Guaman Haniff Khatri.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang ditemui pemberita selepas pengurusan kes dihadapan Hakim Datuk Nordin Hassan memaklumkan, mahkamah menetapkan 30 Julai ini untuk mendengar permohonan itu.
Sementara itu dalam permohonan itu, kesemua pemohonan mendakwa kesemua responden tidak mempunyai asas yang kukuh dan munasabah untuk menggantung perlembagaan Nafas.
Menurut mereka perintah penggantungan tersebut dibuat atas alasan pertubuhan itu menghadapi masalah serius dalam barisan kepimpinan ahli jemaah pengarah dan pengurusan.
Bagaimanapun, dakwa mereka, sehingga kini mereka tidak pernah menerima sebarang notis atau maklumat berkaitan dengan siasatan yang dijalankan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973.
Selain itu, mereka mendakwa pendaftar pertubuhan peladang telah terkhilaf mengeluarkan perintah penggantungan itu selain gagal memberikan tempoh masa untuk pemohon dan pengursan Nafas memperbiki isu yang dibangkitkan.
Sehubungan itu mereka menuntut satu perintah deklarasi bahawa tindakan Salahuddin tidak menjawab rayuan yang dikemukakan kesemua pemohonan berhubung perintah penggantungan itu adalah bercanggah dengan undang-undang dan tidak mematuhi tanggungjawab statutori sebagai menteri.
Mereka juga menuntut satu perintah certiorari supaya perintah penggantungan itu dibatalkan dan perintah mandamus bagi memaksa Salahuddin membalas atau memberi keputusan terhadap rayuan itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah dikeluarkan mahkamah.-Sumber SinarHarian.com