Bekalan letrik untuk 67 kampung sedang dilaksanakan

0
392
Ewon (tiga dari kanan) mendengar taklimat daripada wakil SESB.

KOTA BELUD : Sebanyak 67 kampung di daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas akan mendapat manfaat Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Pembangunan Luar  Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu 28 buah kampung terletak dalam daerah Kota Belud, 23 kampung di Kota Marudu dan 16 kampung di Pitas.

“Kesemua Projek BELB yang dibiayai oleh KPLB Persekutuan itu masing-masing dimulakan sejak 2016 dan 2017 dijangka siap tahun ini. Kampung-kampung itu dikenalpasti oleh Pejabat Daerah.

“Ia kini dalam proses penyiapan, sebahagiannya sudah siap dan beberapa buah kampung lagi masih dalam proses pelaksanaan oleh kontraktor yang dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar Taklimat daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Kota Belud, Kota Marudu dan Pitas, di Pejabat SESB Kota Belud, di sini, pada Khamis.

Taklimat disampaikan oleh Pengurus Cawangan SESB Kota Belud Muryatie Bend, Pengurus Cawangan SESB Kota Marudu Mohd Das Risin dan Pengurus Cawangan SESB Pitas Sudirman Juma.

Ewon berkata, beliau memandang serius isu berkaitan kelewatan penyiapan projek-projek BELB misalnya di Pitas kerana spesifikasi yang tidak diperakui oleh autoriti negeri iaitu SESB dan perlu diperbetulkan semula oleh kontraktor pelaksana tersebut.

Bagi projek penyediaan Lampu Jalan Kampung (LJK) di tiga daerah itu, Ewon berkata sebanyak 810 unit lampu dicadang dipasang di 103 buah kampung.

“Keperluan lebih banyak BELB dan LJK di Sabah adalah antara perkara yang saya akan bincang bersama dengan rakan sejawat saya di Kabinet Persekutuan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun, selain Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Jalan Luar Bandar (JLB) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) semasa perjumpaan dengan beliau di Sabah pada minggu depan.

“Ini termasuk keharmonian kerjasama antara kedua-dua pihak agar tidak ada kelewatan projek yang disebabkan oleh ketidakpatuhan spesifikasi projek oleh autoriti negeri seperti SESB,” katanya.

Turut hadir Pengurus Zon Tengah SESB Mohd Fazley Abu Bakar, Pengerusi Kelab JKKK Kadamaian Jimmy Barukan, Setiusaha Politik Carlye Lajimin, Setiusaha Perhubungan Khas Menteri KPLB Charles Dalinsing dan Setiusaha Sulit Menteri KPLB Arron Guromon.-pr/BNN