Tiga jalan perhubungan Kadamaian di naiktaraf

0
76
Ewon bergambar bersama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung.

KOTA BELUD: Kerajaan akan meneruskan projek penaiktarafan tiga jalan perhubungan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, status projek tersebut adalah “request for tender” oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

“Saya telah diberi taklimat oleh JKR dan seterusnya mengadakan diskusi dengan Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony berkenaan jaminan projek-projek tersebut diteruskan dan pelaksanaannya disegerakan seberapa yang boleh untuk kepentingan penduduk kampung.

“Beliau (Datuk Peter) bersetuju memudahcarakan proses tender tersebut supaya dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Touchpoints Lembaga Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Sambutan Kaamatan di Mukim Tengkurus pada Sabtu.

Jalan-jalan yang terlibat ialah Jalan Gaur, Jalan Sayap dan Jalan Tengkurus masing-masing, 3 kilometer untuk fasa projek penaiktarafan tersebut.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, peruntukan penaiktarafan ketiga-tiga jalan tersebut diusahakan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan semasa beliau menjawat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Malaysia dalam Kerajaan sebelum ini.

“Sebagai Adun Kadamaian dan Menteri KPLB Sabah, saya telah menyediakan peruntukan membina konkrit jalan dalam kampung di Kg Tengkurus dan Kg Gandukut masing-masing sepanjang 100 meter.

“Manakala, Kg Lahanas yang juga berada dalam mukim ini telah kita kenalpasti untuk dimasukkan dalam Program Kampung Sejahtera KPLB Sabah yang akan menyediakan kemudahan dewan dan penyelenggaraan jalan ke kampung mereka,” katanya.

Beliau juga akan membantu perusahaan tani dan perusahaan parang di Kg Gandukut melalui perancangan bajet kementerian pada tahun hadapan.

“Saya tahu ini belum lagi memadai, tapi saya mahu berusaha lebih kuat lagi untuk membawa masuk seberapa banyak penaiktarafan kemudahan di kampung-kampung di seluruh Kadamaian, khasnya dan di seluruh Sabah, amnya,” katanya.

Ewon turut menyatakan komitmen beliau untuk membangkitkan keperluan lebih banyak penaiktarafan Jalan Luar Bandar, Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Lampu Jalan Kampung dan Rumah PPRT serta pembangunan bersepadu Program Mini Estet Sejahtera, Program Ladang PPRT dan Program Kampung Sejahtera semasa mesyuarat Exco-Exco Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang akan diadakan pada 30 Julai ini di Kuala Lumpur berdasarkan kepada data-data yang ada di KPLB Sabah.

Dalam majlis itu, Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM1500 kepada komuniti belia Kg Tengkurus bagi bergotong-royong membaikpulih gelanggang sepak takraw kampung itu.-pr/BNN