PHU THO, VIETNAM: Sabah akan memanfaatkan penganjuran Pertandingan Kecerdasan Buatan dan Robotik (Artificial Intelligence and Robotics Competition – AIROC) International tahun depan bagi memupuk bakat muda serta memperkukuh kerjasama serantau dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), selain bidang inovasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pertandingan antarabangsa itu akan memberi peluang kepada golongan muda untuk menimba pengalaman daripada rakan sebaya di seluruh rantau ini, bertukar idea serta membangunkan penyelesaian inovatif terhadap cabaran bersama.

“AIROC bukan sekadar pertandingan untuk bakat muda, sebaliknya merupakan platform untuk memperkukuh kerjasama antara Sabah, Vietnam dan rakan-rakan di seluruh rantau ini dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan pendidikan STEM.

“Dengan menghubungkan pelajar, pendidik, penyelidik dan pemimpin industri, ia membuka peluang kepada pertukaran kepakaran, pelaksanaan inisiatif bersama serta pembentukan kerjasama jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyerahan rasmi bendera AIROC International 2027 kepada Sabah, yang berlangsung di Gimnasium Wilayah Phu Tho di sini, pada Ahad.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib menyampaikan ucapan Hajiji, selain menerima bendera rasmi bagi pihak Sabah.

Hajiji berkata, aspirasi itu selari dengan hala tuju pembangunan Sabah, khususnya dalam pembangunan modal insan, kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, sains, teknologi dan inovasi memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti, mewujudkan peluang berimpak tinggi serta menangani keperluan pembangunan Sabah.

Beliau berkata, usaha itu turut menekankan keperluan untuk melengkapkan golongan muda dengan pengetahuan, kemahiran dan keyakinan bagi menghadapi dunia yang semakin dipacu teknologi.

“Kita perlu melengkapkan golongan muda bukan sahaja dengan pengetahuan teknikal, tetapi juga rasa ingin tahu untuk meneroka, keyakinan untuk mencuba serta keupayaan berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan bekerjasama.

“Pembelajaran secara praktikal dalam bidang pengekodan, robotik dan kecerdasan buatan mampu merapatkan jurang antara pengetahuan di dalam bilik darjah dengan aplikasi dalam dunia sebenar,” katanya.

Hajiji berharap persahabatan dan kerjasama yang terjalin menerusi AIROC dapat diteruskan melangkaui pertandingan itu, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama serantau yang berterusan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan industri.

Katanya, Sabah tidak sabar untuk menyambut kedatangan peserta, pendidik, penganjur dan tetamu tahun depan bagi menjayakan pertandingan yang menggalakkan pembelajaran, kerjasama serta inovasi bermakna.-pr/BNN