Tuntutan Filipina atas Sabah tidak perlu dilayan

0
675
Brig Jen (K ) Rela Dato Jerry Ambuting Hj Mohd Said Presiden Persatuan Ahli- Ahli Kehormat RELA Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Kenyataan Aquilino Pimentel Jr berhubung tuntutan ke atas Sabah tidak perlu dilayan dan tidak patuh kepada undang-undang antarabangsa.

Menurut Brig Jen (K ) Rela Dato Jerry Ambuting Hj Mohd Said Presiden  Persatuan Ahli- Ahli Kehormat RELA Negeri  Sabah kenyataan bekas senator dan  Ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina berhubung tuntutan ke atas Sabah adalah tidak rasional.

Katanya ia juga tidak berasas dan tidak menghormati undang-undang antarabangsa apabila membuat tuntutan negeri Sabah sebagai negeri ke-13 Filipina.

Beliau berkata demikian berhubung  tindakan Pimentel yang dilantik  untuk mengkaji semula Perlembagaan 1987, memasukkan cadangan kemasukan Sabah ke dalam Filipina sebagai sebahagian daripada peralihan negara itu kepada sistem kerajaan persekutuan.

“Pimentel mengeruhkan hubungan Malaysia-Filipina kerana cuba  mencari jalan untuk memasukkan Sabah ke dalam Filipina menggunakan undang-undang antarabangsa tanpa fakta sejarah yang tepat,” kata Jerry.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut merosakkan hubungan dua hala yang begitu kukuh antara Malaysia dan Filipina ketika ini, lebih-lebih lagi Presiden Duterte baru melawat Malaysia dan berjumpa dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan perkara ini langsung tidak dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.”

Beliau berpendapat bahawa rakyat Filipina juga tidak memperdulikan tuntutan ini kerana mereka mahukan kerajaan mereka fokus akan menyelesaikan masalah rakyat semasa seperti kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, kemiskinan, isu dadah dan rasuah yang berleluasa yang perlu diberikan perhatian.

“Rakyat Sabah juga tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan Filipina dan mana-mana pihak terhadap negeri berkenaan dan Sabah memilih untuk kekal di dalam persekutuan Malaysia dan ini diiktiraf oleh Bangsa-bangsa Bersatu,” tambahnya.

Oleh demikian, sudah cukup jelas bahawa tuntutan Filipina ke atas Sabah bukan satu isu lagi, katanya.-pr/BNN