Jawatankuasa khas ditubuh untuk menyelaras projek luar bandar

0
Rina (enam dari kanan, baris depan) dan Ewon (lima dari kanan) bergambar bersama rombongan KPLB Pusat dan Sabah serta kakitangan Pejabat KPLB Pusat negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan Pusat bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Bersama bagi menyelaras semua projek luar bandar di bawah pembiayaan KPLB Persekutuan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh pegawai daripada kedua-dua kementerian termasuk pegawai-pegawai daerah.

“Pengujudan Jawatankuasa Khas Bersama ini penting agar pelaksanaan projek-projek pembangunan luar bandar di negeri ini yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan berjalan dengan lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Lawatan Kerja Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, Rina Harun dan Taklimat Daripada Pengarah Pejabat KPLB (P) negeri Sabah, Hamsha Injau, di sini, pada Isnin.

Ewon berharap melalui jawatankuasa ini, kedua-dua pihak, KPLB Sabah dan Pusat dapat mempertingkatkan lagi penyelarasan, perkongsian maklumat dan kerjasama yang lebih harmoni.

“Keputusan ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah yang baru supaya keterlibatan autoriti negeri iaitu KPLB Sabah dan pejabat-pejabat daerah yang lebih baik daripada sebelum ini dalam perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan projek-projek Kerajaan Persekutuan.

“Saya ucap terima kasih kepada rakan sejawat, YB Rina di atas keterbukaan beliau dalam perkara ini,” katanya.

Turut hadir Pengarah Mara Negeri Sabah Suhaimi Zainuddin, Pengarah Jabatan Kemas Negeri Sabah (Kemas) Sharulnizam Jantan dan ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KPLB Pusat.-pr/BNN