Jensen dan Jessica juara larian KGNNR

0
63
Ewon (duduk lima dari kanan) dan Munika (duduk lima dari kiri) bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur larian itu.

KOTA BELUD: Pelari tempatan Jenson Daikin dan Jessica Lintanga masing-masing dinobatkan juara kategori lelaki dan wanita terbuka Larian KGNNR (Kiau Guas Nabalu Nature Run) bermula dan berakhir di Padang Kampung Kiau Nulu, di sini.

Tempat kedua dimenangi oleh Roger Hermon dan Mailin Solungin, tempat ketiga Safrey Sumping dan Delila Sindeh, manakala tempat keempat pula dimenangi oleh Welter Herman dan Rose Gimbalo.

Ewon (lima dari kanan) bergambar bersama sebahagian daripada peserta larian.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Ewon Benedick, pada majlis penyampaian hadiah di Dewan Serbaguna Kg.Kiau Nulu, baru-baru ini.

Ewon berkata acara seumpama itu bukan sahaja dapat meningkatkan semangat kesukanan dan menerapkan amalan gaya hidup cergas dan aktif dalam kalangan masyarakat tetapi juga dapat mempromosi tempat-tempat menarik di Kampung Kiau.

“Saya berharap pihak penganjur dapat meneruskan acara ini pada tahun hadapan. Tahniah kepada Tim Kuda dan Eko Pelancongan Kiau atas kejayaan menganjurkan program ini,” katanya.

Larian sejauh 15 kilometer yang julung kalinya dianjurkan itu mendapat sambutan amat menggalakkan bukan sahaja dari peserta tempatan tetapi peserta luar negara.

Sementara itu Pengerusi Bahagian Promosi Munikah Ginsos berkata, program itu diadakan untuk memperkenalkan Kampung Kiau sebagai salah satu destinasi pelancongan melalui aktiviti sukan dan rekreasi serta destinasi larian berkonsepkan alam semulajadi.

Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui semangat kesukanan di kalangan masyarakat setempat dan peserta luar.

“Kebanyakan peserta yang menyertai larian ini amat kagum dengan pemandangan dan keindahan alam semulajadi yang berlatar belakangkan Gunung Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata, KGNNR akan diteruskan pada tahun depan dengan jarak yang sama tetapi laluan berbeza daripada tahun ini.

“Sekiranya ada penaja, kami bercadang untuk menambah dua kategori iaitu kategori terbuka dan kategori veteran pada tahun hadapan,” katanya.

Hampir 200 peserta termasuk ‘virtual run’ menjayakan larian itu.-pr/BNN