Wujudkan RCI untuk siasat pengislaman secara paksa di Tambunan

0
98
Abdul Aziz Julkarnain

KOTA KINABALU: Sebagai pemimpin politik apatah lagi memegang jawatan tinggi seperti Timbalan Ketua Menteri perlu mengambil kebertanggungjawaban untuk setiap kenyataan yang dikeluarkan.

Ketua Pemuda UMNO Sabah Abdul Aziz Julkarnain dalam satu kenyataan akhbar berkata contoh kisah pemimpin-pemimpin yang tersilap dan terkhilaf membuat kenyataan telah mengambil kebertanggungjawaban samada dengan meletakkan jawatan mereka ataupun memohon maaf.

Dalam kes Datuk Seri Wilfred Tangau ini, beliau bertegas untuk mempertahankan kenyataannya yang cukup mengguris hati dan melukakan perasaan Umat Islam di negeri ini , terutamanya yang berasal dari Tambunan, katanya.

“Peristiwa yang lampau sudah berlalu dan usah disebut-sebutkan lagi. Apa yang penting pada hari ini ialah masyarakat Sabah terus menjaga dan memulihara keharmonian dan perpaduan yang sudah lama terjalin. Masyarakat Sabah adalah contoh model bagaimana masyarakat berbilang kaum dan agama dapat hidup secara harmoni, rukun, damai dan sejahtera,” kata beliau.

“Walau bagaimana pun, Tangau yang sedang disiasat di bawah Seksyen 505c Kanun Keseksaan, seolah-olah tidak peduli kepada ini semua. Apa yang penting bagi beliau ialah ingin menjadi juara kepada isu-isu sensitif yang sepatutnya tidak diluahkan, bahkan beliau menegaskan mempunyai memorandum daripada 2000 tandatangan termasuk daripada pemimpin daripada daerah Tambunan.”

Menurut beliau, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain.

” Negara ini menjunjung kedaulatan Undang-Undang. Sekiranya berlaku ketidakadilan iaitu wujudnya ugutan seperti tidak mendapat tanah, kerja dan sebagainya. Keadilan harus ditegakkan. Siapa yang salah harus dipertanggungjawabkan ke muka pengadilan.”

Pengerusi Majlis Gereja-Gereja Keningau Rev Anderson Norbert  pun sudah bersuara dan menegaskan bahawa tumpuan sepatutnya diberi kepada memastikan kebenaran dakwaan Tangau itu.

“Ini menyalahi undang-undang kerana Sabah mengamalkan kebebasan beragama. Kalau betul berlaku pengislaman paksa beramai-ramai, keadilan mesti ditegakkan.” tegas Norbert seperti dilaporkan Portal Berita The MalaysianInsight.

“Pemuda UMNO Sabah menyokong kenyataan tersebut dan menggesa Tangau dan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal mengambil tanggungjawab untuk memohon daripada Kerajaan Persekutuan untuk diwujudkan Siasatan DiRaja (RCI) agar kebenaran dapat dicari dan keadilan dapat ditegakkan seadil-adilnya,” tegas nya.

Tangau dan Ketua Menteri seharusnya tidak menyembunyikan sebarang bukti jenayah seperti ugutan dan paksaan pengIslaman sebelum ini, sekiranya ada. Bak pepatah ‘bangkai gajah takkan boleh ditudung dengan nyiru.’

“Justeru itu, saya menyeru pihak keselamatan terutamanya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) terus melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memelihara dan memulihara kedamaian dan keharmonian yang ada di negeri ini.”-pr/BNN