KOTA KINABALU: Persatuan Mantan Pendidik Sabah (PMPS) perlu diperkasakan secara lebih sistematik bagi memastikan ilmu, pengalaman dan kepakaran pesara pendidik terus dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat serta generasi akan datang.
Presidennya, Dr Aslie Haji Sahat, berkata status sebagai pesara bukan noktah kepada sumbangan seseorang, sebaliknya membuka ruang lebih luas untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang dikumpul sepanjang 30 hingga 40 tahun perkhidmatan.
“Bersara bukan bermakna berhenti menyumbang. Sebaliknya, persaraan membuka ruang untuk kita menyumbangkan semula apa yang telah kita kutip sepanjang lebih 30 atau 40 tahun perkhidmatan,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi PMPS di Bilik Mesyuarat Peniaganita, Wisma Wanita Sabah, di sini.
Beliau berkata, mantan pendidik memiliki aset bernilai tinggi dalam bentuk kompetensi yang merangkumi ilmu, kemahiran, pengalaman dan sikap terpuji, khususnya dalam bidang pendidikan, pengurusan, kepimpinan, pentadbiran, kokurikulum dan pembangunan insan.
Katanya, pengalaman puluhan tahun dalam menghadapi pelbagai situasi, cabaran dan perubahan juga adalah khazanah yang tidak ternilai serta boleh dijadikan panduan kepada generasi lebih muda, selain nilai integriti, disiplin, amanah, tanggungjawab, kesabaran dan semangat kerja berpasukan yang wajar diwariskan.
“Berdasarkan kekuatan itu, PMPS boleh berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pengalaman generasi pesara dengan keperluan generasi semasa dan akan datang.
“Prinsip yang boleh menjadi pegangan PMPS ialah ‘Kompetensi Pesara, Khidmat Untuk Masyarakat’. Ilmu yang kita ada jangan hanya disimpan, kemahiran jangan dibiarkan hilang dan pengalaman yang dikumpulkan jangan terputus bersama persaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Aslie berkata PMPS perlu dibangunkan secara lebih terancang dan berfokus dengan mengamalkan pendekatan Perancangan, Pelaksanaan, Pemantauan dan Penambahbaikan (PDCA) dalam pengurusan program persatuan.
Menurutnya, pendekatan sistematik itu membolehkan setiap program dirancang, dilaksanakan, dipantau dan ditambah baik secara berterusan, sekali gus menjadikan PMPS sebuah organisasi yang lebih aktif, berimpak dan mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat.
Turut hadir Timbalan Presiden PMPS, Hussin Basir; Setiausaha Agung, Alli Majittaba; Penolong Setiausaha Agung, Dr Kassim Buntak serta Ahli Jawatankuasa Tertinggi PMPS.-pr/BNN





