Perlantikan Amarjit menidakkan kepakaran sedia ada dalam Jabatan Air

0
Mazlan Joe Manan

KOTA KINABALU: Perlantikan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Amirjit Singh menidakkan kepakaran dan pengalaman oleh jurutera-jurutera sediada berkhidmat di dalam Jabatan tersebut.

Mazlan Joe Manan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah dalam satu kenyataan akbar berkata pelantikan ini akan menjadi duluan (precedent) kepada campurtangan politik dalam institusi perkhidmatan dalam masa tempoh penggal kerajaan Warisan.

Dia menyeru kepada Ketua Menteri untuk menghormati  janji manifesto mereka sebelum PRU ke-14 iaitu ‘Menginovasi Keupayaan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah’.

Pelantikan ini tidak memberikan manfaat kepada penjawat-penjawat awam sediada kerana merit dan usaha mereka tidak diendahkan oleh kerajaan hari ini, katanya.

“Kami berpendapat dengan senario penglibatan dan campur tangan ahli politik di dalam institusi perkhidmatan Awam Negeri akan menyebabkan ‘pemerkosaan’ institusi yang lebih berleluasa sekiranya tidak dibendung sekarang.”

“Kami juga yakin nilai moral berkhidmat oleh penjawat-penjawat awam akan terjejas dan menyebabkan prestasi perkhidmatan dan pencapaian turut akan terjejas atas campur tangan politik kepartian ini,” tambah beliau.

Mazlan berkata dia tidak mempertikaikan keupayaan Ir. Amarjit Singh sebagai jurutera tetapi dia berkeyakinan penuh kepada Jurutera-Jurutera sedia ada di dalam JBA adalah jauh lebih berkelayakan daripada segi pengalaman urustadbir yang baik dan memahami latar belakang keperluan perbekalan air di negeri ini dengan baik.

“Ir. Amarjit Singh, sebagai perunding kejuruteraan awam, semestinya mempunyai bidang pengalaman yang berbeza dengan skop-skop kerja oleh jurutera-jurutera sediada di dalam JBA. Justifikasi sebagai Perunding swasta yang lebih terlibat dengan rekabentuk dan pengawasan projek tidak cukup untuk melantik beliau sebagai pengurustadbir yang baik untuk sebuah jabatan kerajaan yang menguruskan polisi dan pengurusan perbekalan air di negeri ini.”

Pergerakan pemuda UMNO Negeri Sabah membantah sekeras-kerasnya pelantikan ini dan meminta agar kerajaan Negeri memandang isu ini dengan serius disamping menghormati dan mengangkat janji manifesto sebelum ini.-pr/BNN