Kaji semula perlantikan pengarah Jabatan Air-Armizan

0
187

 

KOTA KINABALU: Persatuan Setiakawan Sabah hari ini menggesa Kerajaan Negeri Sabah mengkaji semula pelantikan Pengarah Jabatan Air Sabah yang baharu.

Pengerusinya Dato Armizan Mohd.Ali berkata, ini untuk mengelakkan berlakunya amalan atau ‘precedent’ yang tidak wajar dalam perkhidmatan awam negeri.

“Sekaligus membuka ruang pada masa depan kepada lebih banyak pelantikan jawatan dalam perkhidmatan awam yang membelakangkan kepentingan para penjawat awam sedia ada.

“Tindakan ini juga adalah satu tuntutan untuk memelihara imej perkhidmatan awam dan semangat (morale) para penjawat awam, menjaga integriti kerajaan dan melindungi kepentingan rakyat dan negeri”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Armizan berkata, setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPAN) berhubung justifikasi pelantikan Pengarah Jabatan Air yang baharu, Amarjit Singh.

Katanya, pelantikan ini telah mendapat pelbagai respon negatif daripada masyarakat. Ini termasuk kekecewaan dan kebimbangan dalam kalangan ramai penjawat awam di Sabah.

Menurutnya, antara perkara yang dibangkitkan adalah pelantikan tersebut tidak wajar kerana Amarjit bukanlah pegawai sedia ada dalam perkhidmatan awam Sabah dan merupakan penyandang jawatan politik iaitu difahamkan Setiausaha Parti Warisan Sabah Bahagian Putatan.

Selain itu, katanya ada juga pihak merujuk kepada kes tangkapan dan reman terhadap Amarjit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 19 Oktober 2017 berhubung siasatan ‘skandal air’ penyelewangan dana yang melibatkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia (KKLW) yang sekaligus berkaitan secara langsung dengan Jabatan Air Sabah sendiri.

Armizan berkata, sememangnya Perlembagaan Negeri Sabah melalui Artikel 37 memberikan kuasa kepada SPAN untuk membuat pelantikan dalam perkhidmatan awam negeri. Kuasa ini juga membolehkan pelantikan sesiapa sahaja, termasuk penyandang jawatan politik, dalam pengisian jawatan perkhidmatan awam secara kontrak.

“Namun begitu, pelantikan seharusnya dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor secara menyeluruh. Selain keperluan perkhidmatan, adalah perlu dipertimbangkan sentimen dan semangat (morale) para penjawat awam, imej dan integriti organisasi serta peruntukan undang-undang itu sendiri”, tambahnya.

Dalam hal Jabatan Air Sabah, katanya adalah jelas waran perjawatan Pengarah telah ditetapkan untuk J54. Ini bermaksud perjawatan ini dikhususkan untuk kepakaran teknikal.

Menurutnya, sungguhpun Amarjit mempunyai kepakaran sebagai seorang jurutera, namun atas faktor kepentingan sentimen dan semangat (morale) para penjawat awam negeri, sewajarnya keutamaan diberikan kepada penjawat awam sedia ada yang datang daripada bidang kepakaran yang sama.

Pada masa yang sama, katanya Jabatan Air juga merupakan organisasi yang terlibat dalam aspek perolehan dan pembangunan. Seharusnya aspek integriti, tadbir urus yang baik dan faktor konflik kepentingan dijadikan teras pertimbangan utama dalam pengisian jawatan.

“Sungguhpun hasil siasatan kes melibatkan Amarjit tersebut belum diumumkan secara rasmi, namun atas kepentingan integriti perkhidmatan awam dan kepentingan rakyat secara keseluruhannya, menjadi satu tuntutan supaya mereka yang dipertimbangkan untuk jawatan Pengarah Jabatan Air itu bukan sahaja bersih, tetapi perlu dilihat bersih.

“Begitu juga, selain Perlembagaan Negeri, Kerajaan Negeri dan SPAN seharusnya merujuk kepada Enakmen Bekalan Air 2003 yang merupakan undang-undang khusus yang mengawal selia aspek pengurusan air di Sabah dan adalah punca kuasa kepada Jabatan Air Sabah. Seksyen 3(2) memperuntukkan bahawasanya pelantikan pegawai untuk pengurusan air dalam menguatkuasakan enakmen berkenaan perlu dibuat daripada kalangan penjawat awam.

“Adalah jelas prinsip dan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan Negeri Sabah dan Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 mengkehendaki supaya pengisian jawatan dalam Jabatan Air perlulah dilantik dalam kalangan para penjawat awam”, tegas Armizan.-Oleh L. S. kuang/BNN