Penduduk kampung minta selesai masalah mendapan pasir

Majuntin (tiga dari kanan) bersama penduduk kampung yang terjejas.

0
287

KOTA BELUD: Penduduk daripada 7 buah kampung di sepanjang Sungai Tampasuk meminta Kerajaan Negeri segera menyelesaikan masalah mendapan pasir di sungai itu.

Wakil penduduk dari Kampung Gunding, Encik Majuntin Biloh berkata, masalah mendapan pasir kesan daripada gempa bumi lalu menyebabkan sebahagian Sungai Tampasuk semakin cetek.

Beliau berkata, keadaan ini bertambah serius apabila Kerajaan baharu menghentikan sementara ” Projek Khas Pengorekan Sungai yang terjejas oleh gempa bumi di Kota Belud” yang melibatkan sepanjang sungai itu sejak bulan Mei 2018.

“Sejak projek itu dihentikan, keadaan mendapan pasir semakin serius dan tanah runtuh sering  berlaku di tebing-tabing sungai menyebabkan Sungai Tampasuk semakin cetek.

“Jika mendapat pasir di kampung-kampung yang kritikal tidak dikorek dan Sungai Tampasuk tidak di dalamkan, apabila hujan lebat akan berlalu banjir”, katanya.

Menurut Majuntin, masalah banjir yang sering berlaku  telah menjejaskan hasil pertanian yang diusahakan oleh mejoriti penduduk kampung di kawasan itu.

Katanya pertanian merupakan punca pendapatan utama penduduk kampung dan kini terjejas teruk.

Tujuh buah kampung yang kritikal menghadapi masalah itu ialah Kampunh Linau, Kg. Gunding, Kg Bobot,Kg Ejuk,  Kg Tamau dan Kg Merabau dan Kg Menunggui.

Serentak itu, Majuntin menggesa Kerajaan Negeri menyegera dan meneruskan  “Projek Khas Pengorekan Sungai yang terjejas oleh gempa bumi di Kota Belud bagi mengatasi masalah itu.

Katanya, semakin lama Kerajaan Negeri menghentikan kerja-kerja pengorekan pasir Sungai Tampasuk, maka semakin lama penduduk kampung-kampung kritikal akan menderita.-Oleh L. S. Kuang/BNN