Insuran berkumpulan diperkenalkan di Kadamaian

0
348
Ewon (duduk lima dari kanan) bergambar bersama mantan-mantan pengerusi JKKK kawasan DUN Kadamaian.

KOTA BELUD:  Skim perlindungan insuran berkumpulan bagi semua ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Ketua Kampung di perkenalkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian .

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick yang telah memulakan inisiatif ini berkata, skim tersebut akan menambahbaik perkhidmatan kebajikan Ketua Kampung, Pengerusi dan Ahli-Ahli Jawatankuasa MPKK.

“Saya mahu kebajikan kepimpinan akar umbi ini dapat dibela. Sebab itu saya akan membiayai kos perlindungan insurans berkumpulan ini khusus untuk kawasan DUN Kadamaian sebagai komitmen saya selaku ADUN di kawasan ini.

“Kita akan memulakan skim ini sebaik sahaja perlantikan Ketua Kampung, Pengerusi dan AJK MPKK dimuktamadkan dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Khas dan Penghargaan Kepada Mantan Pengerusi-Pengerusi JKKK Kadamaian di Kg Piasau pada Jumaat.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian berkata, JKKK kini dikenali sebagai MPKK dan mempunyai 11 orang ahli jawatankuasa yang perlu dimuktamadkan pada Oktober tahun ini.

Beliau telah menetapkan beberapa kriteria bagi perlantikan Pengerusi MPKK dan Ketua Kampung di Kadamaian bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan inisiatif pembangunan di kawasan itu.

“Saya mempunyai aspirasi tinggi dalam membawa kemajuan ke kawasan Kadamaian. Sebab itu pasukan Kadamaian termasuklah Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK sangat penting.

“Saya akan memuktamadkan calon-calon yang boleh dilantik sebagai Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK di kawasan Kadamaian bukan hanya berdasarkan kepada pengalaman dan potensi, tetapi keupayaan mereka menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah, dan bukannya menjadi masalah kepada pasukan Kadamaian kelak,” katanya.

Mengenai penamatan perlantikan politik dan pengisian baru pengerusi JKKK, beliau berkata ia merupakan perkara biasa dalam mana-mana peralihan Kerajaan.

“Bagaimanapun, saya selaku ADUN Kadamaian memohon maaf kerana penjawat Pengerusi dan AJK JKKK selama ini ditamatkan perlantikan bagi membolehkan pengisian baru. Saya memberi penghargaan tinggi kepada semua di atas perkhidmatan selama ini,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut meluangkan masa berdialog dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan semasa majlis tersebut.

Beliau juga menyampaikan nota penghargaan kepada semua mantan Pengerusi JKKK dari 74 buah kampung di seluruh Kadamaian.-pr/BNN