Jaminan Tun M mengenai hak Sabah dan Sarawak disambut baik

0
Ewon (tengah), Bolkiah (kanan) dan Bubudan (kiri) pada majlis itu.

PITAS : Jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi layanan adil kepada Sabah dan Sarawak disambut baik.

Tun juga telah menyatakan bahawa ia tidak akan membezakan pelaksanaan dasar serta pembangunan di kedua-dua negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick berkata, rakyat Sabah dan Sarawak sudah lama menunggu ‘berita gembira’ seperti itu agar rakyat kedua-dua negeri itu dan Semenanjung menikmati faedah yang sama rata misalnya gaji minimum dan pembangunan infrastruktur yang sama.

“Selain itu Kerajaan Persekutuan juga akan ‘menghidupkan’ kembali Perjanjian Malaysia 1963 dan akan memberi tumpuan untuk melaksanakan perkara-perkara yang terkandung di dalamnya berdasarkan kemampuan kerajaan.

“Kita sama-samalah berharap apa yang diperjuangkan oleh rakyat Sabah, termasuk UPKO selama ini akan menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Pitas di Dewan Masyarakat Pitas, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Bolkiah Hj.Ismail, Pegawai Daerah Pitas Bubudan OT Majalu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar  (KPLB) Sabah Sualim Sanan dan Timbalan Pengarah KPLB (P) Sabah Christni Alus.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku’ bertepatan dengan usaha kerajaan yang mahu memberi penekanan kepada rakyat Malaysia agar terus menyayangi negara ini kerana bukan mudah untuk mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, selain menyemarakkan semangat patriotisme serta memperluas dan memperkukuh semangat kekitaan, “Sayangi Malaysiaku” juga seiring dengan perpaduan yang menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan integrasi nasional dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum di negara ini.

“Sehinggga hari ini, segelintir rakyat negeri ini masih berdiskusi mengenai sambutan 31 Ogos. Ada yang berpendapat ianya Hari Sabah, ada yang memanggilnya Hari Kemerdekaan, dan ada juga yang berpendapat ianya sebagai Hari Kebangsaan.

“Pada saya, apa juga sambutan ini dipanggil, ianya tentang kebersamaan kita dalam Malaysia yang dibina bersama selepas perundingan beberapa Kerajaan mewakili wilayah masing-masing pada tahun 1963.”

“Sambutan ini disertai pelbagai lapisan masyarakat, bangsa, kaum dan agama dari semua lapisan umur. Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, dan negeri Sabah, tidak ada lagi yang lebih penting melainkan kebersamaan kita secara aman dan harmoni.”

“Mari terus meraikan kebersamaan kita ini. Ianya tentang kita, maju bersama sebagai Bangsa Sabah. Kita harus sama-sama mempertahankan kemerdekaan ini agar negara kita terus aman, damai dan rakyat hidup dengan aman damai,” katanya.

Ewon turut mengingatkan generasi muda supaya terus menghayati erti kemerdekaan sebenar dan memahami sambutan Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September setiap tahun bagi meningkatkan semangat cintakan negara.

“Tarikh 16 September amat penting untuk diraikan oleh seluruh rakyat negara ini kerana ia adalah tarikh keramat di mana Malaysia dilahirkan dengan menyatukan Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.”

“Oleh itu, rakyat Sabah khususnya generasi muda harus mengetahui, memahami dan menghayati sejarah di sebalik peristiwa penting itu agar tidak terkeliru dengan informasi kurang tepat,” katanya.-pr/BNN