Projek loji rawatan air dijangka siap pada 2020

0
38
Ewon (lima dari kiri), Bolkiah (enam dari kiri), Sualim (tujuh dari kiri) dan James (dua dari kiri) bergambar bersama kakitangan Jabatan Air Pitas dan rombongan KPLB Sabah dan Pusat, di Loji Penapis Air Pitas.

PITAS:  Projek pembinaan loji rawatan air Pitas dibawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang menelan belanja sekitar RM52 juta dijangka dilaksanakan tidak lama lagi dan dijangka siap pada 2020.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick berkata, projek yang dibiayai oleh kerajaan persekutuan itu kini dalam peringkat urusan rekabentuk terperinci

“Jika semuanya berjalan lancar, kita berharap pelaksanaan projek ini dapat dimulakan tidak lama lagi, dan apabila siap nanti, ia dapat membantu menangani masalah kekurangan bekalan air di daerah Pitas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Loji Air Pitas dan mendengar taklimat ringkas pembangunan bekalan air daerah Pitas, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pitas Datuk Bolkiah Hj.Ismail, Pegawai Daerah Pitas Bubudan OT Majalu, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar  (KPLB) Sabah Sualim Sanan dan Timbalan Pengarah KPLB (P) Sabah Christni Alus, Jurutera Air Bahagian Kudat, Pitas dan Kota Marudu James Suana dan Pegawai Kerja Jabatan Air Pitas Marup Madarin.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, bagi mengatasi masalah bekalan air di daerah Pitas, Projek Penyambungan Paip Sistem Retikulasi dan Agihan daerah itu sedang dalam pertimbangan kelulusan KPLB Pusat untuk Rolling Plan 3 Tahun 2018.

“Program BALB ini melibatkan penyambungan dan pembesaran paip. Sekiranya diluluskan dalam tahun ini, projek ini dijangka akan siap dilaksanakan pada penghujung tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata, ekoran pertambahan penduduk dan pembangunan pesat di daerah itu maka kadar permintaan air semasa adalah sebanyak 10 juta liter sehari (JLH) iaitu melebihi kadar pengeluaran kapasiti Loji Rawatan Air Pitas.

“Dua Loji Rawatan Air sedia ada iaitu di Pekan Pitas dan Kanibongan hanya dapat mengeluarkan sebanyak 6.0 JLH.

“Permintaan semasa bekalan air di Pitas semakin meningkat disebabkan adanya perancangan pembangunan di daerah ini. Oleh itu permintaan adalah tidak mencukupi daripada pengeluaran bekalan air sedia ada,” katanya.-pr/BNN