BEAUFORT: Semangat patriotik dikalangan rakyat perlu dipupuk dari peringkat kanak-kanak lagi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Matbali Haji Musah.
Katanya, usaha memupuk semangat patriotik hendaklah bermula dari peringkat sekolah rendah lagi agar ia terus berkembang subur.
“Murid-murid sekolah rendah wajar didedahkan dengan subjek cinta dan sayangkan negara agar apabila dewasa kelak mereka akan memilik semangat Patriotik dalam diri dan jiwa mereka.
“Sekiranya semangat patriotik dapat dipupuk sejak kecil, sudah tentulah semangat patriotik akan terus diamalkan dan dikekalkan hingga dewasa”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Program Sambutan Kemerdekaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kabajang, Beaufort dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional Pedalaman bawah Beaufort, Encik Mohd Norazam bin Azizan dan Pengerusi KRT Kg. Kabajang, Encik Jumaatin Tamin dan masyarakat setempat.
Selain itu katanya, ibu bapa juga memainkan peranan penting membantu menyuburkan semangat patriotik dikalangan anak-anak.
Matbali berkata, semangat cintakan tanah air dan negara wajar dimiliki oleh rakyat negara ini tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.
“Selaku rakyat Malaysia, kita wajar dan mesti memiliki semangat sayangkan negara dan tanah air”, tambahnya.
Menurutnya, masyarakat yang sentiasa cinta akan negara tidak akan melakukan perkara-perkara yang akan memburukkan nama negara.
Justeru katanya, usaha menyuburkan dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat perlu terus digerakkan di semua peringkat agar masyarakat lebih
mengutamakan kepentingan negara berbanding dengan kepentingan diri.-Oleh LSK/BNN