MESEJ Bunang sebagai ‘role model’-Ewon

0
95
Ewon bersama rombongan melawat Mesej Bunang

KENINGAU: Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Bunang boleh dijadikan sebagai ‘role model’ kepada program pembangunan MESEJ di Sabah, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Ewon Benedick.

Menurutnya, ini kerana MESEJ Bunang yang mengusahakan tanaman kelapa sawit merupakan MESEJ paling berjaya di antara kesemua 52 MESEJ seluruh negeri.

Beliau berkata, kejayaan itu dapat dilihat menerusi peningakatan purata pendapatan kesemua peserta mesej iaitu daripada hanya RM727 sebulan pada tahun 2013 kepada RM1,079 sebulan pada tahun 2018.

“Pada pendapat saya, MESEJ Bunang I adalah antara satu daripada kesemua mesej di seluruh Sabah yang paling berjaya kerana KPLB Sabah secara konsisten membayar dividen kepada peserta seramai 33 orang.

“Selain disediakan rumah, bekalan elektrik, air dan jalan raya yang selesa, turut disediakan di MESEJ Bunang I ialah Bas Sekolah untuk menghantar anak-anak peserta ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat MESEJ Bunang I dan Bunang II Keningau, di sini, pada Jumaat.

Turut serta dalam lawatan itu ialah, dua Pembantu Menteri Luar Bandar Rasinin Koutis dan Dumi Pg. Masdal, Timbalan Pengarah KPLB (P) Christni Alus, Pegawai Daerah Keningau Haji Yusop Haji Osman,  Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook Virus Malitam dan Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Kesejahteraan Rakyat KPLB Sabah Charles W Dabbi.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian mahu agar para peserta MESEJ Bunang mempelbagaikan aktiviti pertanian untuk menambah sumber pendapatan mereka.

“Memandangkan kos sara hidup semakin meningkat, kita mahu membantu para peserta MESEJ di sini untuk mempelbagaikan aktiviti pertanian dan penternakan yang bersesuaian untuk meningkatkan lagi pendapatan bulanan mereka,” katanya.

Beliau turut memuji usaha dan kerjasama semua jabatan dan agensi berkaitan yang membantu membangunkan MESEJ Bunang.

“Para peserta yang terdiri daripada Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT) yang dahulunya tidak mempunyai pendapatan bulanan kini mempunyai pendapatan lebih RM1,000 sebulan sama ada daripada dividen atau upah bekerja di mesej ini,” katanya.

Mengenai MESEJ Bunang II Ewon berkata, perumahan 33 unit rumah di kawasan itu telahpun siap dan akan diduduki selepas proses pemilihan peserta dimuktamadkan.

“Setakat ini seramai 50 orang telah dipanggil ubtuk temuduga tetapi hanya 19 orang yang layak dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Pegawai Daerah akan menyelaraskan pemilihan peserta ini melalui jawatankuasa focus group,” katanya.-pr/BNN