BERSATU Sabah sokong pelantikan Dr.Taufiq sebagai Vc UMS

0
376
Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah menyambut baik  dan menyokong  penuh keputusan Menteri Pendidikan melantik Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin sebagai Naib Cancelor (VC) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu.

BERSATU Sabah  juga berpendapat bahawa faktor utama yg harus menjadi pertimbangan dalam pengisian jawatan-jawatan penting di universiti awam ialah “meritokrasi”

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) BERSATU Sabah, Mohd Isquzawan Israq Datuk Arsit berkata, selain ‘merit’, kualiti calon juga mengatasi semua pertimbangan lain.

“Kami yakin keputusan  Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mengambilkira kriteria ini dalam keputusan beliau.

“BERSATU Sabah menyambut baik dan menyokong penuh keputusan melantik Prof. Dr Tawfiq Yap Yun Hin sebagai VC UMS yang baharu”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isquzawan mengulas pelantikan Dr.Taufiq sebagai VC UMS berkuat kuasa 30 Julai ini hingga 29 Julai 2022.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan kelmarin berkata, pelantikan Taufiq bagi menggantikan Datuk Prof Dr D Kamarudin D Mudin yang tamat tempoh memegang jawatan itu, hari ini.

“Pelantikan ini berdasarkan kepakaran dan kelayakan akademik tinggi serta pencapaian beliau ketika memegang jawatan, sama ada di peringkat nasional atau antarabangsa.

“Kementerian percaya pelantikan beliau akan dapat memacu kecemerlangan UMS ke tahap yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Taufiq, 51, yang berasal dari Kota Kinabalu,  adalah Profesor di Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kimia UPM pada 1992 dan melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama pada tahun 1994, sebelum memperoleh Ijazah Kedoktoran dari University of Manchester Institute of Science and Technology, United Kingdom pada 1997.

Selain pernah dilantik sebagai Pengetua Kolej Kediaman dan Ketua Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Katalisis UPM, beliau mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa apabila dilantik sebagai Felo di The Royal Society of Chemistry, United Kingdom pada 2008.

Isquzawan berkata,  Dr Taufiq adalah anak tempatan Sabah yang memiliki kelayakan akademik  dan pengurusan cemerlang yang telah mendapat pengiktirafan bukan sahaja di negara ini tetapi juga diperingkat antarabangsa.

“Beliau amat layak menerajui UMS. BERSATU Sabah akan memberi kerjasama penuh kepada Dr.Taufik dalam usaha berterusan membawa UMS ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

“Beliau memerlukan sokongan dan dokongan daripada rakyat Sabah secara keseluruhannya dalam usaha mencapai matlamat murni ini.

“BERSATU Sabah mengucapkan selamat bertugas kepada Prof Dr Taufiq Yap”, tegas Isquzawan.-pr/BNN