KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Etnik Kujau, Gana, Nabai Sabah (KGNS), Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menyeru seluruh ahli persatuan supaya terus berdiri teguh di belakang barisan kepimpinan dalam usaha menggerakkan KGNS ke arah yang lebih maju, kukuh dan disegani.
Beliau berkata, kejayaan sesebuah persatuan bukan hanya bergantung kepada kewibawaan pemimpinnya, sebaliknya turut memerlukan komitmen, keikhlasan dan kesatuan seluruh ahli dalam menjayakan setiap agenda yang dirancang.
“Apabila pemimpin dan ahli bergerak sehaluan, tiada cabaran yang terlalu besar untuk dihadapi. Semangat kebersamaan inilah yang akan menjadi asas kepada kekuatan dan kejayaan persatuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, KGNS bukan sekadar sebuah organisasi, malah menjadi wadah penting dalam memelihara warisan budaya serta memperjuangkan kebajikan masyarakat etnik Kujau, Gana dan Nabai di Sabah.
Katanya, persatuan itu juga berperanan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli serta memperkukuh identiti dan jati diri masyarakat berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa setiap ahli agar terus memberikan sokongan kepada persatuan dengan menjelaskan yuran keahlian secara konsisten, selain aktif menyertai program yang dianjurkan.
Beliau berkata, ahli juga digalakkan menyumbangkan idea, tenaga dan kepakaran mengikut kemampuan masing-masing kerana setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, mampu memperkukuhkan perjalanan dan pembangunan persatuan.
“KGNS adalah milik kita bersama. Oleh itu, setiap ahli mempunyai tanggungjawab untuk memastikan persatuan ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Yazid turut menyeru semua ahli supaya mengenepikan sebarang perbezaan pandangan serta mengutamakan semangat kekeluargaan, saling menghormati dan berganding bahu demi masa depan persatuan yang lebih cemerlang.
Beliau berkata, warisan budaya yang dimiliki hari ini merupakan amanah yang perlu dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Saya yakin dengan semangat perpaduan, keikhlasan dan kebersamaan, KGNS akan terus berkembang sebagai sebuah persatuan yang dihormati, menjadi kebanggaan masyarakat serta memberi manfaat yang berterusan kepada seluruh ahlinya,” katanya.-pr/BNN





