KOTA KINABALU: Kejayaan merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bergantung kepada kekuatan, komitmen dan keupayaan seluruh penjawat awam untuk bekerja sebagai satu pasukan yang terselaras, saling melengkapi serta berkongsi tanggungjawab dalam mencapai matlamat yang sama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman berkata, semangat itu menjadi asas kepada Hala Tuju SMJ 2.0 kerana kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau pelan yang dirangka, tetapi sejauh mana dasar tersebut mampu meningkatkan taraf hidup rakyat.

Beliau berkata, budaya bekerja secara berasingan atau silo mentality perlu ditinggalkan dan digantikan dengan budaya kolaboratif yang meletakkan setiap kementerian, jabatan dan agensi sebagai rakan strategik dalam memacu agenda pembangunan negeri dan negara.

“Kerjasama strategik perlu diperkukuh antara kementerian dan agensi di peringkat negeri serta Persekutuan, di samping memperluaskan sinergi dengan sektor swasta, institusi akademik dan komuniti bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dilaksanakan secara lebih terselaras, cekap dan berimpak.

“Pada masa sama, komunikasi strategik perlu dipertingkatkan menerusi pelaporan prestasi yang telus, penggunaan papan pemuka pemantauan (dashboard) serta perkongsian data yang berkesan supaya setiap dasar dan inisiatif dapat dipantau, dinilai dan ditambah baik secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Program Sankalpa Sabah 2030: Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.

Beliau berkata, dunia hari ini jauh berbeza berbanding sedekad lalu apabila kemajuan teknologi yang pesat, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), telah mengubah landskap global termasuk cara sektor awam melaksanakan tugas harian.

“Justeru, SMJ 2.0 mengiktiraf pendigitalan dan AI sebagai pemacu strategik yang akan memperkukuh kecekapan pentadbiran, meningkatkan produktiviti serta mentransformasikan kaedah perancangan, membuat keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.

Zainudin berkata, pencapaian di bawah SMJ 1.0 membuktikan bahawa dasar yang jelas dan disokong pelaksanaan berkesan mampu memberikan manfaat nyata kepada negeri serta rakyat.

“Bagi SMJ 2.0, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak lagi dinilai berdasarkan kualiti laporan semata-mata, sebaliknya sejauh mana ia berjaya meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, hasil pertemuan beliau dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 6 Julai lalu, beberapa perkara penting telah dipersetujui bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan pelaksanaan agenda pembangunan Sabah.

Antaranya ialah pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dalam pengurusan projek menerusi konsep Review, Keep and Boost bagi mempercepatkan proses pengurusan projek di Sabah.

Beliau berkata, cadangan mewujudkan hampir 300 jawatan melibatkan 26 agensi di bawah pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) turut dipersetujui tanpa memerlukan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO). Selain itu, mesyuarat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membincangkan status pelaksanaan serta penyelesaian projek pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua Setiausaha Tetap dan Ketua Jabatan supaya mengutamakan pelaksanaan RKB dengan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu prosedur kerja sedia ada yang boleh ditambah baik melalui pendekatan tersebut.

Katanya, setiap kementerian dan jabatan juga perlu mempunyai pelan strategik, pensijilan ISO, Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) serta Amalan Peraturan Baik (GRP), selain mengintegrasikan teknologi AI dalam proses kerja yang telah melalui fasa RKB bagi memaksimumkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Zainudin berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kejayaan SMJ 1.0, tetapi merupakan transformasi yang lebih strategik berasaskan tiga teras utama, iaitu sektor pertumbuhan ekonomi meliputi pertanian, industri dan pelancongan; modal insan serta kesejahteraan rakyat; dan keterhubungan infrastruktur serta kelestarian hijau.

Katanya, ketiga-tiga teras itu disokong oleh lima pemudah cara dan tiga fokus utama iaitu ekonomi biru, penggunaan AI serta pembangunan inklusif bagi memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh Sabah.

Pada masa sama, beliau menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi negeri supaya merangka pelan strategik berasaskan Hala Tuju SMJ 2.0, menyelaraskan strategi, inisiatif dan KPI masing-masing dengan pelan pembangunan tersebut, serta memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara pantas, berkesan dan memberi impak bermakna kepada rakyat.-pr/BNN