Kebajikan tentera dan anggota keselamatan veteran diberi perhatian

0
77
Ewon bergambar bersama anggota PVATM Sabah yang menghadiri mesyuarat itu

KOTA BELUD: Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan veteran tentera dan anggota keselamatan lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick berkata, ini kerana veteran tentera telah memberi banyak sumbangan dalam mempertahankan kedaulatan negara seperti dalam era konfrontasi negara jiran semasa awal penubuhan Malaysia dan dalam insiden Tanduo serta bakti lain wajar diberi penghargaan bukan hanya oleh pihak kerajaan, tetapi juga rakyat jelata.

“Kita berpeluang berhimpun bersama dalam acara-acara keramaian, boleh berniaga dan bekerja dalam keadaan selamat kerana peranan tentera dan anggota keselamatan lain.

“Justeru, adalah wajar bagi kerajaan, termasuk rakyat, terus membela kebajikan mereka sesuai dengan sumbangan besar mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan PVATM Sabah ke-37, di Dewan Masyarakat Tun Said, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden PVATM Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Hj Mohd Nor dan Pemangku YDP PVATM Negeri Sabah Marshid Mohd Salleh.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut menyokong hasrat anggota veteran tentera agar diberi keutamaan dalam Program Bantuan Rumah (PBR) yang dilaksanakan kerajaan.

“Saya telah dimaklumkan tentang masalah di kalangan ahli-ahli veteran tentera yang memerlukan pembaikan rumah dan juga mahu memiliki rumah di bawah program perumahan rakyat. Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), saya ingin membantu ahli-ahli ini terutamanya jika mereka tergolong dalam senarai e-Kasih atau perlu dimasukkan dalam senarai tersebut.

“Kerajaan Negeri telahpun memutuskan bahawa satu jawatankuasa penyelarasan program perumahan rakyat ini dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah. Saya akan memaklumkan kepada beliau mengenai masalah dan hasrat yang dikemukakan oleh ahli-ahli persatuan veteran,” kata Ewon.

Beliau berkata, jawatankuasa itu adalah satu platform terbaik kerajaan untuk mengenalpasti bilangan ahli persatuan yang memerlukan rumah sama ada program perumahan di bawah KPLB atau di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“Bagaimanapun proses verifikasi untuk mendapatkan kemudahan perumahan tersebut memakan masa kerana Pejabat-Pejabat Daerah dan agensi berkaitan seperi ICU, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Perumahan akan turun padang meninjau keperluan sebenar ahli-ahli persatuan yang belum memiliki rumah atau yang memerlukan pembaikpulihan rumah.

“Saya juga akan membantu menyelaras pertemuan pimpinan PVATM Sabah dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berkaitan keperluan PPR untuk anggota persatuan itu. Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dan sudah pastinya arif dan prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli veteran tentera,” katanya.

Ewon yang juga Penasihat kepada PVATM Cawangan Kota Belud turut menyampaikan sumbangan geran aktiviti tahunan sebanyak RM10,000 khusus untuk Persatuan Veteran Tentera Cawangan Kota Belud.

“Ini adalah sokongan dan penghargaan khusus saya kepada veteran tentera. Selagi saya menjadi Wakil Rakyat di Kadamaian, saya ingin menyumbangkan geran tersebut daripada peruntukan touchpoints ADUN,” katanya.-pr/BNN