Pesara guru buat laporan polis terhadap portal

0
68
Parti Warisan Sabah cawangan Bingkor membuat laporan polis ke atas FMT dan wartawannya di Keningau pagi tadi.

KENINGAU: Seorang pesara guru, walaupun menghormati kebebasan media, telah bertindak membuat laporan polis terhadap sebuah portal berita dan penulisnya kerana berpendapat artikel yang disiarkan berunsur jenayah fitnah.

Peter @ Isong Daigo, 58 tahun, berkata artikel bertajuk *Hundreds throng NRD counter, sparking fear of Project IC 2.0 in Sabah* pada 29 Sept menimbulkan soal penjawat kerajaan mengkompromikan hak dan undang-undang negara.

“Apa bukti bahawa pendatang  tanpa izin diberikan IC? Mudah sekali untuk melempar tuduhan tapi di mana buktinya? Ini satu usaha untuk memperlekehkan kerajaan,” katanya.

Dalam laporan polis yang dibuat di Keningau pagi tadi, Peter berkata artikel itu telah menyebarkan cerita seolah-oleh program bersama Ketua Menteri yang diadakan di Dewan Masyarakat Keningau pada 28.09.2018 adalah satu lagi usaha untuk mewujudkan projek IC 2.0.

“Penulis telah menyiarkan suatu berita yang dia sendiri tidak pasti akan kesahihanya dan tidak hanya mengharapkan apa yang ditulis di media sosial,” katanya.

Maka dengan itu, sebagai sebuah portal berita yang aktif dan terkenal, Peter berkata tidak sepatutnya berita berunsur fitnah disiarkan kerana ia telah menyebabkan rakyat Sabah menjadi risau.

Beliau menekankan bahawa tindakan portal itu dan wartawannya telah menghasut rakyat untuk mempercayai bahawa kerajaan telah mengeluarkan IC Projek kepada warga asing.

Dengan membuat laporan polis Peter meminta agar pihak polis menyiasat laman portal tersebut dan juga wartawan yang menulis berita tersebut agar satu tindakan dapat diambil.-pr/BNN