Ubah pendekatan akhbar cetak-Shafie

0
95
Muguntan menerima replika cek RM60,000 daripada Mohd Shafie untuk tajaan KSPA
KOTA KINABALU: Media cetak khususnya surat khabar di negeri ini disaran mengubah pendekatan dalam penyampaian isi kandungan berita agar tidak sama seperti media sosial.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, cabaran yang dihadapi industri surat khabar bukan sahaja disebabkan perkembangan meluas penggunaan media sosial.
Katanya, budaya membaca yang semakin tenggelam dalam kalangan masyarakat antara punca semakin ramai yang tidak memperdulikan surat khabar.
Sehubungan itu, beliau menyarankan media cetak supaya menambahbaik isi kandungan berita menerusi pendekatan yang berbeza.
“Kalau media sosial lebih cepat dalam menyiarkan maklumat, media cetak tidak perlulah menyiarkan maklumat yang sama secara berulang.
“Cari pendekatan lain dari segi penyampaian isi kandungan berita kerana orang membeli surat khabar bukan semata-mata mahu membaca berita.
“Perluaskan lagi kandungan berita mungkin dengan menyiarkan artikel berkaitan pendidikan, budaya, isu tempatan, dan juga kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Jawatankuasa Penganjur Anugerah Kewartawanan Kinabalu Shell (KSPA) 2018 di sini hari ini.
Shafie berkata, artikel yang mengandungi isi kandungan menarik dan penyampaian yang berbeza boleh mendorong kepada minat membaca serta menulis.
Pada masa sama, katanya, ia juga membantu memperbaiki penguasaan bahasa dalam kalangan pembaca.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur KSPA yang juga Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Muguntan Vanar turut memaklumkan KSPA kali ke-26 ini akan diadakan pada 24 November 2018 di Shangri-La’s Tanjung Aru Resort & Spa (Star) Kota Kinabalu.
Katanya, sebanyak 316 penyertaan melibatkan organisasi media cetak dan elektronik diterima tahun ini.
Pada kunjungan itu, Shafie turut menyampaikan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM60,000.
KSPA dianjurkan oleh Shell Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan SJA. negeri Sabah untuk penganjuran KSPA.-pr/BNN