Usul kajian separuh penggal RM11 memberi harapan besar- Ewon

0
254
Datuk Ewon Benedick

KOTA KINABALU: Usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) yang dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat semalam memberi harapan besar kepada rakyat Sabah terutama merancakkan lagi pembangunan luar bandar.

Sambil menyambut baik pembentangan usul itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya akan memainkan peranan signifikan dalam aspek penyelarasan dan pemantauan pelaksanaan projek-projek yang telah dikenalpasti untuk dilaksanakan.

 Beliau berkata, untuk tujuan itu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Negeri dan Persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi dan Jawatankuasa Kerja Penyelarasan dan Pemantauan.

“Saya sendiri mengadakan perjumpaan dengan Datuk Seri Rina Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan hari ini (Jumaat) untuk menyusuli keperluan kerjasama ini.

“Pembangunan luar bandar Sabah tidak hanya mencakupi keperluan asas jalanraya, elektrik, air dan ameniti sosial tetapi juga pengujudan aktiviti ekonomi yang bersesuaian dengan potensi sesebuah kawasan di luar bandar tersebut seperti eko-pelancongan, agro-pelancongan dan industri asaa tani.

“Saya gembira kerana perkara-perkara ini menjadi tumpuan besar dalam pelaksanaan separuh penggal yang seterusnya,” katanya ketika mengulas Kajian Separuh Penggal RMKe-11, 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri.

Ewon yang juga Naib Presiden UPKO berkata, UPKO juga akan memainkan peranan untuk memastikan RMKe-11 dilaksanakan dengan wajar.

Beliau berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana komitmen berterusan dalam pembangunan tanah adat.

“Kerajaan Persekutuan boleh terus menyalurkan sumber-sumber tertentu khususnya untuk tujuan penyukatan dan pengeluaran geran tanah, manakala Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan supaya tanah adat dan tanah anak negeri akan terus dimiliki oleh komuniti anak negeri,” katanya.

Beliau juga berharap agar Kerajaan Persekutuan akan terus membantu meningkatkan keperluan kepada bahan mentah komodiri seperti getah dalam teknologi pembinaan jalanraya supaya bukan hanya keperluan naiktaraf jalanraya dapat diatasi, tetapi para pekebun kecil getah di luar bandar berupaya menikmati harga yang lebih baik.

“KPLB Sabah akan terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah. Ianya akan diperkasakan bermula dengan pemantapan hubungan baik dan kerjasama erat dengan KPLB Persekutuan.

“Saya sentiasa meletakkan diri saya ke tempat warga masyarakat luar bandar yang menginginkan pembangunan dan kemajuan sebuah negara yang merdeka dan maju. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengangkat aspirasi ini,” katanya.

Mengenai Perjanjian Malaysia 1963, Ewon turut berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menyentuh tentang penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk mengkaji semula dan memantau pelaksanaan yang wajar bagi perjanjian itu.

“Saya tahu banyak rakyat Sabah yang skeptical kerana jawatankuasa demi jawatankuasa dibentuk ke arah aspirasi ini dan tidak kurang banyaknya yang bertanya kenapa tidak laksanakan sahaja Perjanjian Malaysia yang dimeterai pada tahun 1963 itu?

“Sudah banyak pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang dibuat sejak tahun 1963 termasuklah evolusi autoriti persekutuan-negeri termasuk beberapa perkara yang diserahkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini kepada Kerajaan Persekutuan, dan kesahihan kuatkuasa akta-akta yang diluluskan oleh Parlimen semasa Ordinan Darurat masih berkuatkuasa, sudah tentunya memerlukan pengkajian semula yang menyeluruh agar autoriti dan hak Sabah dapat dikembalikan sepertimana dalam Perjanjian Malaysia,” katanya.

Ewon berkata, royalti minyak dan hak 40 peratus ke atas sumber cukai yang diperolehi di Sabah merupakan antara perkara mustahak berkaitan Perjanjian Malaysia yang begitu penting kepada Sabah bagi membangunkan negeri ini.

“Saya amat mengalu-alukan jaminan komitmen ke arah pembangunan wilayah yang seimbang dalam pelaksanaan separuh penggal yang seterusnya berdasarkan kepada tiga tonggak utama, iaitu memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri terbesar dalam Persekutuan Malaysia yang memerlukan sumber besar bagi melaksanakan aspirasi pembangunan dan kemajuan di seluruh negeri, khususnya pembangunan infrastruktur luar bandar seperti kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air serta ameniti sosial yang lain.

“Dalam masa yang sama, kedua-dua negeri sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar negara telah banyak menyumbang kepada sumber persekutuan bagi membangunkan negeri-negeri di Semenanjung.

“Sabah hanya menikmati 5 peratus royalti daripada hasil pengeluaran minyak dan gas di kawasan perairannya, manakala Kerajaan Persekutuan menikmati royalti 5 peratus dan hasil lain seperti cukai, dividen dan sebagainya.

“Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menyerahkan royalti 5 peratus yang ia terima daripada Sabah kepada Sabah bagi tujuan pembangunan sepertima diaspirasikan oleh rakyat Sabah, termasuk melaksanakan separuh penggal yang seterusnya RMKe-11 ini,” katanya.-pr/BNN