Isi cuti akhir tahun dengan aktiviti berfaedah-Matbali

0
56
Matbali menerima cenderamata daripada Guru Besar, Maaruf Haji Jislim di majlis itu
Matbali menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar kepada seorang penerima.

BEAUFORT: Ibu bapa perlu memastikan cuti akhir tahun anak-anak mereka diisi dengan aktiviti yang berfaedah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan,Encik Matbali Haji Musah.

Katanya, cuti panjang akhir tahun persekolahan amat ditunggu-tunggu oleh murid-murid sekolah.

Beliau berkata, ibu bapa perlu merancang aktiviti berfaedah yang sesuai diisi oleh anak-anak mereka seperti mengikuti kelas  mengaji, kelas melukis, kelas muzik,  komputer, perkhemahan pasukan beruniform, lawatan, melancong dan lain-lain.

“Jangan membiarkan anak-anak duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan bermain  “games” di telefon bimbit atau komputer semata-mata” , katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar (MAKP) Sekolah Kebangsaan (SK) Gadong dekat sini, kelmarin.

Hadir sama Guru Besar, Maaruf Jislim, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG), Musal Sanini, Penolong Kanan Pentadbiran, Ust Roslan Hj Suhailin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,  Puan Mariani dan Penolong KoKurokulum, Yusof Bauk.

Matbali berkata, ibu bapa juga perlu mengambil tahu pergaulan dan aktiviti anak-anak mereka d luar rumah.

Katanya, bagi kawasan yang sering dilanda banjir pada akhir tahun, ibu bapa hendaklah memastikan anak-anak tidak bermain di kawasan parit, sungai dan tasik kerana ia amat merbahaya.

“Jangan membiarkan anak-anak bermain air terutama pada musim hujan dan banjir
bagi mengelak tragedi yang tidak diingini berlalu” tegasnya.

Mengenai MAKP, Matbali berkata ia merupakan pengiktirafan pihak sekolah terhadap prestasi cemerlang para pelajar dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.

Katanya, majlis itu harus menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus berusaha lebih gigih lagi bagi mencapai kecemerlangan.

Menurutnya selain guru-guru, ibu-bapa turut memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak cemerlang dalam akademik.

“Ibu-bapa perlu bersama-sama guru-guru bekerjasama dalam mendidik dan membimbing anak-anak menjadi insan yang berguna kepada bangsa dan negara”,tegasnya.-Oleh LSK/BNN