Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal serta Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr.) Abang Hj. Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Hj. Openg antara mereka yang hadir ke acara bersejarah ini.
Tujuan utama penyemakan Perjanjian Malaysia 1963 adalah untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu dalam Malaysia.
Ia juga menjadi asas kukuh untuk mengeratkan hubungan antara ketiga-tiga wilayah.
Jawatankuasa ini akan mengesyor kepada Kerajaan perkara berhubung pelaksanaan hak-hak dan autonomi Sabah dan Sarawak.
Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perkara-perkara yang terkandung dalam “Chapter 3, Annexes A and B of the Report of the Inter-Governmental Committee, 1962”.
Sebelum ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia telah mengadakan beberapa siri mesyuarat penyelarasan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun ini.
Mesyuarat-mesyuarat tersebut bagi mendapatkan persetujuan awal berhubung senarai isu-isu serta tuntutan yang ingin dikemukakan oleh Kerajaan Sabah dan Sarawak berhubung Perjanjian Malaysia 1963.
Menteri kabinet persekutuan yang hadir adalah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kerjaraya, Baru Bian, Menteri Luar Negeri, Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong.
Manakala rombongan Sabah termasuk Peguam Besar Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin dan mantan Peguam Besar Sabah, Datuk Stephen Foo dan bagi Sarawak, termasuk Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan & Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah binti Sayeed Aman Ghazali serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Gerawat Gala.
Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Datuk David Wong dan pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shad Saleem Faruqi juga hadir pada mesyuarat pagi tadi.-pr/BNN