KOTA KINABALU: Menjelang perayan Tahun Baru Cina, golongan warga emas di Rumah Warga Tua Sri Pritchard Kinarut tidak dilupakan oleh mereka yang prihatin khususnya syarikat-syarikat swasta dan juga individu.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Sabah (Malaysia-China Chamber of Commerce (Sabah Branch), Datuk Frankie Liew telah mengetuai jawatankuasanya, usahawan muda MCCC bersama kakitangan daripada 2 buah syarikatnya iaitu Dongshun Group Sdn.Bhd dan Nuga Best (Sabah) Sdn.Bhd mengunjungi 88 penghuni rumah amal itu untuk menyampaikan sumbangan berupa bahan makanan dan “Ang Pow”.
Frankie Liew merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (Chief Executive Director) Dongshun Group dan Pengerusi Eksekutif Nuga Best.
Berucap di majlis penyerahan sumbangan itu, Frankie berkata lawatan amal itu diadakan setiap tahun menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
“Program amal ini telah diadakan sejak berpuluh tahun yang lalu dan ia akan diteruskan.
“Ini merupakan aktiviti tahunan bagi mendedahkan ahli MCCC Cawangan Sabah dan kakitangan syarikat dengan program amal bagi menimbulkan kesedaran untuk mengingati golongan warga emas dan golongan kelainan upaya (OKU) yang memerlukan perhatian masyarakat”, katanya.
“Kunjungan ini amat penting dan bermakna bagi memberi kesedaran kepada kita terutama masyarakat agar jangan lupa golongan yang memerlukan perhatian terutama menjelang Tahun Baru Cina”, tegasnya.
Menurutnya, dengan lawatan amal itu diharap dapat membawa sedikit keceriaan dan kegembiraan kepada warga emas dan golongan kurang bernasib baik di institusi itu.
Frankie Liew berkata, syarikat-syarikat swasta dan masyarakat yang mampu perlu tampil membantu golongan kurang bernasib baik yang memerlukan perhatian dan pembelaan.
“Sumbangan dan program-program amal yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat dan juga individu dapat membantu meringankan sedikit beban Kerajaan dalam mengurus soal kebajikan sosial”, tegasnya.
Turut hadir di majlis itu ialah Pegawai Penguasa Rumah Warga Tua Sri Pritchard, Puan Lucina Loijim.
Sementara itu, Frankie Liew dan rombongan turun menyampaikan sumbangan berupakan barang keperluan harian, makanan dan angpow kepada penghuni Rumah Amal Cheshire (Sabah Cheshire Home) di Likas.-Oleh LSK/BNN