Ahli-ahli peladang persoal rasional mesyuarat pengurusan tertinggi LPP diadakan di Sabah

0
726
Wahid Miasin
KOTA KINABALU: Ahli-ahli peladang di Sabah mempersoalkan rasional Mesyuarat Pengurusan Tertinggu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Bil .1 tahun 2019 akan diadakan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu bermula 15 hingga 18  Februari 2019.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna,  Encik Abd. Rahim Oting yang juga Ahli Jemaah Pengarah PP Negeri Sabah berkata, beliau hairan kenapa mesyuarat itu perlu diadakan di luar daripada Kuala Lumpur.
Abdul Rahim Oting
“Mengadakan Mesyuarat Tertinggi LPP di Kota Kinabalu akan membelanjakan kos yang  banyak terutama bagi membayar tiket penerbangan, bilik penginapan dan sewa dewan mesyuarat selama 4 hari.
“Adakah LPP kini sudah banyak duit? Sebagai salah sebuah agensi kerajaan, LPP sepatutnya berbelanja secara hemah kerana setiap sen yang dibelanjakan adalah duit rakyat”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu ahli peladang Unit Malalia, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Encik Wahid Miasin yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sipitang berkata, agak pelik mesyuarat itu akan diadakan di luar Kuala Lumpur.
Katanya, dalam usaha Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan langkah berjimat cermat, LPP pula melakukan sebaliknya.
“Ini adalah bertentangan dengan dasar berjimat cermat dalam semua aspek  perbelanjaan jabatan dan agensi kerajaan yang ditekankan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
“Sekiranya LPP mempunyai banyak duit sepatutnya mendermakannya dalam Tabung Harapan Malaysia atau Kerajaan bagi membantu membayar hutang negara”, katanya.
Wahid berkata, sekiranya Mesyuarat Tertinggi LPP diadakan di KL sudah tentu lebih jimat perbelanjaan berbanding diadakan di Sabah atau di mana mana negeri, luar dari ibu negara Kuala Lumpur.
Beliau berkata mengikut jadual asal mesyuarat itu akan bermula pada hari Jumaat (15 Februari) hingga 18 Februari (Isnin). Sementara 16 dan 17 Februari adalah hari Sabtu dan Ahad.
“Ini bererti pegawai tertinggi LPP akan bermesyuarat pada hari cuti juga iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.
“Kita tidak mahu pegawai tertinggi LPP hanya gunakan alasan mesyuarat di Kota Kinabalu, sebenarnya mereka lebih kepada makan angin di sini. Jika ini berlaku, sudah pasti duit rakyat yang digunakan bagi membiayai semua kos itu”,tegasnya.
Wahid berharap jabatan dan agensi kerajaan mematuhi arahan belanja berhemah dan berjimat yang ditekankan oleh Kerajaan PH kerana negara masih menanggung beban hutang yang banyak.-pr/BNN