Ahli peladang sokong keputusan PPN Sabah lapor polis

0
453
Hashim Diris
Wahid Miasin

KOTA KINABALU:  Ahli-ahli peladang di sini menyokong keputusan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah membuat laporan polis terhadap Ketua Pentadbir Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Ahli peladang Unit Malalia, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang, Encik Wahid Miasin berkata, keputusan PPN Sabah amat tepat kerana melindungi kepentingan ahli-ahli peladang.

“Ahli-ahli peladang selaku pemegang saham dalam PPN dan NAFAS perlu dilingungi kepentingan mereka.

“Sebarang salah laku oleh Ketua Pentadbir NAFAS sehingga menyebabkan ia mengalami kerugian perlu disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa”, katanya dalam satu kenyataan.

Wahid yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sipitang mengulas  keputusan PPN Sabah melapor polis terhadap Ketua Pentadbir NAFAS kerana memanggil Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2018  tanpa punca kuasa.

Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi PPN Sabah, Dato’ Mohd.Nazri Abdullah bersama 9 ahli  jemaah pengarah PPN yang lain di balai polis Penampang pada 29 Januari 2019.

Dalam laporan polis itu, PPN Sabah mendakwa Ketua Pentadbir NAFAS telah mengeluarkan notis memanggil MAT pada 20 Disember 2018 di Everly Hotel Putrajaya tanpa punca kuasa kerana Perlembagaan NAFAS masih digantung.

Akibat  daripada notis memanggil MAT itu, ianya telah dihadiri oleh perwakilan-perwakilan peladang dari seluruh negara termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Malangnya MAT 2018 tidak dapat dijalankan disebabkan Perlembagaan NAFAS belum dilepaskan,  akibatnya NAFAS dikatakan mengalami kerusian lebih RM2 juta.

Mohd. Nazri berkata, akibat daripada kerugian itu, maka ia akan menjejaskan keuntungan NAFAS 2018 dan ini sekaligus menyebabkan pemegang saham juga mengalami kerugian kerana keutungan yang akan diagihkan oleh NAFAS kepada PPN juga akan berkurangan.

Katanya, PPN Sabah selaku pemegang saham NAFAS memutuskan membuat laporan polis itu selepas Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah PPN Sabah Bil.1, Tahun 2019 pada 29 Januari 2019 yang lalu.

Wahid berkata, NAFAS sebagai induk Pertubuhan Peladang telah menceburkan diri dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan khususnya dalam bidang pertanian.

“Justeru sebarang keputusan yang dibuat oleh Ketua Pentadbir NAFAS hendaklah mengutamakan kepenting ahli-ahli selaku pemegang saham”, tegas.

Menurutnya, Kerajaan Pakatan Harapan tidak mahu melihat NAFAS ditadbir oleh pengurusan tidak cekap sehingga menyebabkan NAFAS mengalami kerugian.

Sementara itu Ahli Jemaah Pengarah PPK Beaufort, Encik Hashim Bin Daris berkata, keputusan yang dibuat oleh PPN Sabah amat wajar.

“Ini bagi melindungi kepentingan ahli-ahli peladang selaku pemegang saham. NAFAS perlu mengutamakan kepentingan ahli-ahli dalam semua tindakannya”, katanya.

Beliau berkata, pihak Polis dan juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu menyiasat perkara itu.

“Pihak yang menyalah guna kuasa sehingga menyebabkan NAFAS mengalami kerugian harus diambil tindakan tegas kerana mereka sepatutnya melindungi kepentingan pemegang saham”, tambahnya.

Hashim melahirkan rasa kesal kerana akibat kelemahan ketua pentadbir yang dilantik menyebabkan NAFAS mengalami kerugian yang tidak sewajarnya.-pr/BNN