Kenyataan AJP PPN Sabah berdasarkan fakta benar

0
497
Mohd.Nazri Abdullah (lima dari kanan) semasa mempengerusikan Mesyuarat AJP PPN Sabah

KOTA KINABALU: Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli-ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah mengenai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) adalah berdasarkan fakta yang benar.

Pengerusi PPN Sabah, Dato Mohd.Nazri Abdullah berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh AJP PPN yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) merupakan suara hati ahli-ahli peladang yang bimbang dengan masa depan NAFAS.

“Mereka (AJP PPN) mengeluarkan kenyataan hanya demi melindungi kepentingan ahli-ahli peladang yang merupakan pemegang saham di unit, PPK, PPN dan NAFAS dan bukan untuk kepentingan peribadi mereka.

“Tambahan pula kenyataan tersebut adalah berdasarkan fakta yang benar. Dan bukan bertujuan merugikan mana-mana pihak terutama Pertubuhan Peladang”, katanya dalam satu kenyataan,hari ini.

Mohd.Nazri berkata dalam Mesyuarat AJP PPN Sabah hari ini, wakil pendaftar dari LPP Negeri telah memberi peringatan bahawa tindakan boleh diambil terhadap pihak yang membuat kenyataan media.

Selain Mohd.Nazri, AJP PPN Sabah yang telah menyuarakan kebimbangan mengenai nasib dan masa depan NAFAS menerusi kenyataan ialah Pengerusi PPK Pitas, Datuk Ng Loi Tect, Pengerusi PPK Semporna, Encik Abd. Rahim Oting, Pengerusi PPK Kinabalu, Datuk Haji Jaimin Samitah dan Pengerusi PPK Tuaran, Puan Sylvia Belinggi.

Katanya, mesyuarat AJP PPN Sabah dimaklumkan bahawa berdasarkan Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang (PP) Bil.2/2009-Tatacara Pelaksanaan Kuasa Pendaftar dalam mengarahkan AJP Pertubuhan Peladang mengosongkan jawatan dibawah Seksyen 14(5)(F) Akta PP 1973 (Akta 109) iaitu;

“Mengenai kuasa Pendaftar mengarahkan jawatan Pengarah itu dikosongkan dalam erti kata lain ialah memecat mana-mana AJP jika ia mengambil bahagian dalam apa-apa urusan atau bertindak mengikut suatu cara yang pada pendapat Pendaftar mendatangkan mudharat kepada kepentingan-kepentingan PP itu”.

“Perlakuan atau tindakan yang boleh yang disifatkan memudharatkan PP dibawah 5.1(III)- membuat apa-apa kenyataan terbuka atau dalam media yang merupakan fitnah untuk menjatuhkan imej PP atau Pendaftar”.

Sehubungan itu Mohd.Nazri memberi tempoh selama 3 hari bermula esok (Sabtu) hingga Isnin depan kepada Pendaftar PP untuk menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam kenyataan-kenyataan terdahulu oleh AJP PPN Sabah.

“Sekiranya Pendaftar PP tidak menjawab semua persoalan tersebut atau menafikan apa-apa fakta benar yang dinyatakan dalam kenyataan-kenyataan AJP PPN terdahulu, maka bererti isu-isu yang diutarakan dalam kenyataan itu adalah benar dan tidak prejudis.

“Dan sekiranya Pendaftar PP gagal berbuat demikian (menjawab persoalan dan menafikan isu-isu yang diutarakan oleh AJP PPN) maka arahan pendaftar PP dibawah Akta PP 1973 tidak terpakai”, tegasnya.-pr/BNN