KENINGAU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, menyeru umat Islam agar terus menghayati dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup sempena sambutan Nuzul Al-Quran 1447 Hijrah.
Beliau berkata, peristiwa Nuzul Al-Quran yang diperingati setiap 17 Ramadan bukan sekadar memperingati turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi juga mengingatkan umat Islam tentang kepentingan menjadikan kitab suci itu sebagai pedoman dalam kehidupan seharian.
Menurutnya, Al-Quran mengandungi petunjuk yang jelas ke arah jalan yang benar serta membawa khabar gembira kepada mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh.
“Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Isra ayat 9, Al-Quran memberi petunjuk ke jalan yang amat betul dan menjanjikan ganjaran besar kepada mereka yang beriman serta melakukan kebaikan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Nuzul Al-Quran.
Beliau turut mengajak masyarakat Islam khususnya di kawasan DUN Bingkor agar mengambil peluang pada bulan Ramadan untuk memperbanyakkan membaca, memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Tambahnya, penghayatan terhadap nilai-nilai Al-Quran juga mampu memperkukuhkan perpaduan, membentuk akhlak mulia serta melahirkan masyarakat yang lebih berintegriti dan berdaya maju.
Pada masa sama, beliau berharap sambutan Nuzul Al-Quran dapat menjadi medan muhasabah diri agar setiap individu terus memperbaiki amalan dan memperkukuhkan hubungan dengan Allah SWT.
“Semoga Ramadan yang penuh keberkatan ini membawa rahmat, kedamaian dan kesejahteraan kepada seluruh umat Islam,” katanya.-pr/BNN





